Lima Lelaki Ditahan Cuba Pecah Masuk Rumah Sarang Burung Walet
Kota Tinggi, 19 Jun - Lima lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam cubaan memecah masuk rumah sarang burung walet di dua lokasi sekitar daerah ini, Rabu lepas (15 Jun).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata kesemua tangkapan itu termasuk melibatkan seorang lelaki yang dikehendaki di Mersing atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan di kawasan parkir di hadapan sebuah bank di Jalan Niaga 1 dekat sini, pada 5.40 pagi membabitkan empat lelaki berusia antara 26 dan 31 tahun.
Katanya, tiga daripada suspek dari Mersing, manakala seorang lagi dari Tumpat, Kelantan dipercayai cuba memecah masuk rumah sarang burung walet.
"Hasil pemeriksaan menemui pelbagai peralatan pecah rumah dan kereta Honda
yang dinaiki suspek dan merupakan kereta yang dilaporkan hilang baru-baru ini, di Setia Indah, Johor Bahru," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rahmat berkata, tangkapan kedua pula pada 2 petang hari yang sama, melibatkan seorang lelaki di kawasan parkir di sebuah pasar raya berdekatan.
Beliau berkata suspek yang berusia 20 tahun dan berasal dari Mersing itu, cuba memberi sogokan wang tunai RM2,900 kepada pegawai polis yang bertugas sebagai imbuhan melepaskan rakan-rakannya.
"Bagaimanapun sogokan ditolak. Suspek ditahan dan wang sogokan dirampas untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.
Rahmat berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Jun, untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kikisan dan Bahan Letupan 1958 serta Seksyen 28(1)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955.
- BERNAMA