
Article
Lima 2023 Persembahan Demonstrasi Maritim Menyelamat Tebusan Oleh Pdrm Pukau Para Pengunjung
Menerusi segmen maritim itu, hampir 131 pegawai dan anggota PDRM pelbagai pangkat dari Pasukan Polis Marin (PPM), 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasuka...
Langkawi, 26 Mei 2023 - Ratusan pengunjung yang menonton Demonstrasi Maritim Operasi Menyelamat Tebusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 terpukau dengan pelbagai aksi menarik serta mendebarkan di Resort's World Langkawi, di sini, pagi tadi.
Menerusi segmen maritim itu, hampir 131 pegawai dan anggota PDRM pelbagai pangkat dari Pasukan Polis Marin (PPM), 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman mengambil bahagian sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton yang hadir.
Lebih bersejarah dan mendapat penghormatan tinggi kepada Pasukan tadi ialah apabila Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail bersama DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat bercemar duli menyaksikannya dari pentas utama.
Aksi kepakaran tempur oleh operatif 69 Komando dengan 'penculik' berjaya mencuri tumpuan orang ramai, ditambah ledakan bunyi bom dan tembakan senjata api selain aksi lasak mengawal bot jenis Watercat oleh jurumudi PPM serta kemampuan membuat terbang rendah dengan pelbagai formasi oleh juruterbang helikopter AW139 dan AS355N profesional PGU.
Yang turut hadir tadi ialah Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato' Mohd Hishamudin Tahar, Timbalan Pengarah (PGK) Jabatan KDNKA Bukit Aman, SAC Anuar Rosdi, Komander 69 Komando PGK, SAC Hamzah Hashim, Komander PPM, SAC Norzaid Muhammad Said dan Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Sukri Kaman.
Seusai demonstrasi PDRM, program diteruskan dengan demonstrasi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan diiringi Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama Timbalan Pengarah (Logistik) APMM yang memangku tugas Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya (Maritim) Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Segmen maritim disertai PDRM di Resort's World Langkawi bermula dari 25 Mei sehingga 27 Mei depan dari jam 10.00 pagi sehingga 6.00 petang.
Di sebelah malam tadi pula, Tan Sri Acryl Sani berbesar hati memenuhi undangan Datuk Saiful Lizan untuk jamuan keraian warga KDN di atas Kapal Maritim Arau di perairan Pulau Langkawi.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.














































































