Lelaki Indonesia Miliki Syabu Rm1 Juta
PULAU
PINANG 16 Ogos - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Pulau Pinang semalam kerana cuba menyeludup masuk
empat kilogram dadah jenis syabu bernilai RM1 juta ke negara ini.
Suspek
yang berusia 34 ditahan sebaik sahaja tiba di lapangan terbang ini pada
pukul 5.40 petang menaiki pesawat dari Mali, Afrika yang transit di
Singapura.
Hasil
pemeriksaan ke atas bagasi yang dibawa suspek, polis menemui satu
bungkusan berwarna coklat berisi syabu disembunyikan di bawah pakaian
miliknya.
Ketua
Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ini merupakan kali
keempat suspek memasuki Pulau Pinang sepanjang tahun ini dan polis
sedang menyiasat sama ada dia melakukan jenayah sama sebelum ini.
"Kita
juga akan menyiasat dalang di sebalik penyeludupan ini dan tempoh
mereka beroperasi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dadah
yang dirampas dipercayai untuk diedar di sekitar negeri ini dan suspek
kini direman sehingga 22 Ogos depan untuk siasatan lanjut.
Kes
disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit
kesalahan.
Menurut
Abdul Rahim, pihaknya percaya kawalan ketat di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sindiket pengedaran dadah
mencari laluan masuk yang baru.