Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lelaki Ditahan Tidak Sampai 24 Jam Samun Pekerja Kilang

Diterbitkan: 17 Mar 2016 1.33 PM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.31 PM
Nibong Tebal, 17 Mac 2016 - Seorang lelaki ditahan polis kurang 24 jam selepas menyamun pekerja kilang warga Indonesia di sebuah rumah yang dijadikan asrama di Taman Idaman dekat Simpang Ampat di sini, 13 Mac lalu.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lelaki-ditahan-tidak-sampai-24-jam-samun-pekerja-kilang
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 21:11 MYT
Nibong Tebal, 17 Mac 2016 - Seorang lelaki ditahan polis kurang 24 jam selepas menyamun pekerja kilang warga Indonesia di sebuah rumah yang dijadikan asrama di Taman Idaman dekat Simpang Ampat di sini, 13 Mac lalu. 

Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumahnya di taman sama selepas polis menerima aduan daripada mangsa yang menyedari kehadiran suspek di dalam rumah mereka.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), DSP Shamsudin Mamat berkata hasil pemeriksaan di rumah suspek menemukan beberapa barangan yang dipercayai disamun antaranya beg, telefon bimbit pelbagai jenama, satu salinan pasport Indonesia, seutas jam tangan dan pelbagai mata wang asing.

Katanya polis juga merampas enam kad ATM pelbagai bank, sebilah pisau lipat, dua kad pengenalan Indonesia, surat pajak gadai dan satu motosikal yang dilaporkan hilang di Simpang Ampat.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 20 Mac ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Dalam kes berasingan, Shamsudin berkata polis telah menjalankan operasi khas di kawasan SPS dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 40-an di Taman Ilmu di sini pada 14 Mac lalu.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis berjaya menemukan peralatan yang disyaki untuk melakukan pecah rumah seperti besi boleh laras, pemotong besi kecil, perengkuh paip, pahat, pemutar skru dan satu alatan serba guna. 

"Lelaki itu kini direman sehingga esok dan siasatan awal mendapati dia positif dadah jenis meth serta memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan samun, menyimpan barang curi dan dadah. 

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan polis percaya berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah di sekitar SPS," katanya.

Sementara itu, Shamsudin berkata seramai 77 orang telah diperiksa dalam Op Sarang Bersepadu di Kampung Tasek Chempedak bermula 14 Mac lalu melibatkan 36 tangkapan. 

Operasi itu melibatkan tujuh pegawai dan 60 anggota bertujuan menghapuskan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih dadah di kampung itu.- BERNAMA
ArtikelDiterbitkan 17 Mar 2016 1.33 PMDikemas kini 15 Aug 2026 7.31 PM