Lelaki Curi Senjata Api Berjaya Diberkas
Kuantan,
21 April - Seorang lelaki yang mencuri senapang patah dari sebuah rumah
jiran berjaya ditahan pihak polis, dalam kejadian di Raub, malam tadi.
Suspek
berusia 49 tahun ditahan di sebuah rumah kosong, berhampiran rumah
mangsa, sejam selepas kejadian. Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan
Samsudin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.00 malam itu, suspek memecah masuk rumah mangsa, di Batu 2 Jalan Cheroh, dekat Raub.
"Selain
senapang patah, suspek turut melarikan wang tunai RM2,500, sebuah
komputer riba dan 48 butir peluru," kata Wan Samsudin. Mangsa, berusia
50 tahun, yang menyedari rumahnya dipecah masuk bertindak membuat
laporan polis, dan hasil maklumat itu dan tindakan pantas polis, suspek
berjaya ditahan sejam selepas itu.
"Polis
setelah menerima maklumat berkenaan menyerbu ke sebuah rumah kosong
berhampiran lokasi kejadian sebelum berjaya menahan suspek. "Hasil
pemeriksaan, polis turut menemui semula senjata api berkenaan bersama 48
butir peluru dan barang-barang mangsa yang dilaporkan hilang," katanya.
Beliau
berkata, suspek mengaku memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap yang
dipecahkannya sebelum melarikan barang-barang mangsa. Katanya, suspek
kini masih ditahan reman selama empat hari di lokap Balai Polis Raub
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - BERNAMA