Lelaki Bawa Empat Pelajar Masuk Hutan Ditahan
Baling,
17 Okt - Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang terbabit
membawa empat pelajar dari Kampung Bukit Rawa, Sedim ke dalam hutan
simpan Gunung Inas dekat sini pada petang Aidiladha Selasa lalu.
Pemangku
Ketua Polis Daerah Baling ASP Md Nazir Osman berkata lelaki berkenaan
ditahan di kawasan rumah keluarganya di Kampung Sungai Buluh, Karangan
dekat sini pukul 12.30 tengah hari tadi.
Lelaki
itu dipercayai membawa empat pelajar memasuki kawasan hutan di Bukit
Wang Kerbau berhampiran kaki Gunung Inas di sini Selasa lepas.
Empat pelajar itu yang kemudiannya dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat petang semalam.
Mereka
iaitu Mohd Hafiz Ridzuan, 14, Ahmad Mohamad Md Dahari, 11, dan Rohaizat
Jamaluddin, 10, ditemui di Lata Lubuk Buluh pada pukul 6.45 petang
kira-kira enam kilometer dari kaki gunung tersebut.
Seorang
lagi mangsa iaitu kakak kepada Ahmad Mohamad, Aina Nadia, 13, ditemui
dalam keadaan pengsan dan dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan.
Penduduk
dan waris kepada empat pelajar berkenaan bersyukur dengan tertangkapnya
lelaki berkenaan yang menyebabkan anak-anak mereka terpedaya dengan
helah lelaki itu untuk membawa pelajar berkenaan masuk ke dalam hutan
Simpan Gunung Inas kononnya untuk menjerat monyet.
Md Dahari Jahaya, 57, bapa dua mangsa tersebut berkata beliau bersyukur dengan tertangkapnya lelaki itu.
"Saya
serahkan kepada pihak berkuasa dan berterima kasih kepada semua pihak
yang membantu mencari anak saya sepanjang mareka berada dalam hutan
Simpan Gunung Inas," katanya.
Sumber : BERNAMA