Lebih Tujuh Orang Kenamaan Dikenalpasti Terlibat Judi Bola S
KUALA
LUMPUR, 21 Jun 2010 -- Polis mengenalpasti lebih tujuh orang kenamaan
dipercayai terlibat dengan sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala
Dunia dalam talian yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin
berkata polis masih menjalankan siasatan bagi menjejaki mereka yang
terlibat dengan kerjasama Interpol.
"Kita
masih menjalankan siasatan dan risikan dengan pihak Interpol bagi
mengesan mereka yang terlibat dengan sindiket perjudian ini di luar
negara," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Beliau
berkata sejak dua minggu Ops Soga dijalankan dari 11 Jun hingga
semalam, sebanyak 156 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan 120
orang ditahan melibatkan nilai pertaruhan berjumlah RM300.7 juta.
Katanya,
daripada jumlah itu, Bukit Aman sendiri melalui operasi yang dijalankan
oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) telah menahan 30
orang melibatkan nilai pertaruhan sebanyak RM200 juta.
"Seramai
100 lelaki, 20 wanita dan sembilan warga asing yang berumur antara 15
dan 73 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh kontinjen
seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Bukit Aman sendiri,"
kata Mohd Bakri.
Beliau
berkata ada di antara mereka yang ditahan merupakan pelajar, namun
beliau enggan mengulas lanjut jumlah mereka yang ditahan itu.
Katanya,
selain itu terdapat tiga sindiket perjudian di negara ini yang
menjalankan kegiatan tersebut di luar negara selepas kegiatan mereka di
sini dikesan polis.
Beliau
percaya lebih 200,000 orang rakyat negara ini yang terlibat dengan
pertaruhan judi bola sepak itu sejak Piala Dunia bermula pada 11 Jun.
"Kita
juga ada bukti bahawa sindiket ah long turut terlibat dalam sindiket
pertaruhan judi bola sepak ini dalam memberi pinjaman kepada orang yang
ingin berjudi.
"Nilai pertaruhan bagi setiap individu dipercayai antara RM50 dan RM2,000 bagi setiap perlawanan," katanya.
Mohd
Bakri berkata nilai pertaruhan bagi setiap satu sindiket boleh mencecah
RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan dan boleh mencapai
sehingga RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari.
Katanya,
Ops Soga akan diteruskan sehingga tamat Piala Dunia, 12 Julai, namun
polis akan meneruskan operasi pemantauan terhadap sindiket perjudian
bola sepak yang melibatkan liga-liga bola sepak yang lain.
"Kita
akan terus memantau kegiatan perjudian bola sepak ini dan polis tidak
akan berganjak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap
sindiket yang terlibat," tegasnya.