Lawatan Persatuan Penduduk Ampang Indah Ke Ipd Ampang Jaya Selangor
Ampang - 8 Ogos 2010. Balai Polis Ampang telah menganjurkan sesi lawatan kepada Ahli Jawatankuasa Penduduk Ampang Indah ke IPD Ampang Jaya dalam suasana ceria dan harmoni. Lawatan seramai 18 AJK yang terdiri dari (13) lelaki dan (5) wanita diketuai oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Encik Fauzan b. Ismail tiba tepat jam 10.00 pagi dengan disambut mesra YDH ACP. Abd. Jalil b. Hassan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, YDH Supt. Amiruddin b. Jamaluddin, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dan C/Insp. Norazman b. Zakaria, KPB Ampang. Selain dari itu Ketua-Ketua Bahagian dan ketua-ketua cawangan yang lain turut menyambut kedatangan mereka.
Sebelum mereka diberi taklimat seterusnya, semua AJK bersama-sama bergambar dengan pegawai-pegawai polis yang hadir di hadapan sebuah bas Balai Polis Bergerak di perkarangan IPD Ampang Jaya.
Memulakan sesi lawatan, semua AJK penduduk tersebut dibawa ke lobi Balai Polis Ampang di mana YDH KPD Ampang Jaya telah menyampaikan taklimat berkenaan gambar-gambar yang terdapat di lobi tersebut meliputi senarai ketua-ketua polis daerah, sejarah penubuhan IPD Ampang Jaya, gambar-gambar Wira Integriti dan lain-lain lagi. Lobi Balai Polis ini boleh diibaratkan sebagai Galeri IPD Ampang Jaya yang boleh dibaca oleh semua tetamu yang berurusan di IPD ini.
Lawatan seterusnya mereka telah dibawa ke Pejabat Pertanyaan Balai di mana C/Insp. Norazman b. Zakaria, KPB Ampang telah menyampaikan taklimat fungsi-fungsi dan tanggungjawab anggota yang bertugas mengikut giliran setiap hari di samping memberi gambaran perlakuan pengadu jika layanan tidak diberikan dengan pantas.
Selepas itu, AJK-AJK dengan diiringi beberapa pegawai kanan dan anggota telah dibawa melawat Lokap Balai Polis Ampang yang menempatkan tahanan reman. Di sini mereka telah diberi taklimat oleh YDH ACP. Abd. Jalil b. Hassan, KPD Ampang Jaya dan C/Insp. Norazman b. Zakaria, KPB Ampang.
Sesi terakhir dalam sesi lawatan ini, semua AJK dibawa ke Bilik Harum Maya untuk sesi penerangan dan sesi dialog bersama AJK penduduk tentang permasalahan menangani jenayah dan pencegahan jenayah di kawasan tempat tinggal mereka.

Taklimat Balai Polis Bergerak oleh C/Insp. Norazman b. Zakaria, KPB Ampang.

Sesi lawatan Kuanter Penerimaan repot polis.

Lobi Balai Ampang - Sesi penerangan berkaitan penubuhan IPD Ampang Jaya.

Sesi lawatan lokap.

Sesi taklimat Bilik Gerakan NKRA Balai Polis Ampang.

Sesi dialog bersama Penduduk.

Gambar kenangan bersama AJK-AJK Persatuan Penduduk Ampang Indah.