Lawatan Kerja Kpn Ke Jabatan Pengurusan
Bukit Aman, 4 April- Warga Jabatan Pengurusan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berbesar hati menyambut ketibaan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar sempena rangka lawatan kerja rasmi beliau ke jabatan tersebut di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.
Menyambut ketibaan Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar adalah Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah bersama barisan kepimpinan tertinggi jabatan tersebut yang bertempat di aras 30.
Dalam taklimat berkenaan organisasi dan halatuju yang disampaikan oleh Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, beliau telah menekankan fokus utama dalam Transformasi Sumber Manusia dari sudut latihan, penilaian pegawai dan anggota berteraskan kompetensi sekaligus kesinambungan program “Trim n Fit” yang akan terus dilaksanakan sebagai wadah gaya hidup sihat di kalangan warga PDRM.
Tambah Dato’ Sri Zulkifli lagi, Jabatan Pengurusan kini dalam usaha membangunkan konsep Balai Polis Moden yang bakal dirintis oleh Balai Polis Taman Tun Dr.Ismail (TTDI) dan Balai Polis Brickfields, manakala struktur organisasi balai juga akan ditambahbaik sebagai “barisan hadapan” yang akan berurusan dengan masyarakat melalui pejabat pertanyaan.
Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar telah menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pengurusan dan menyifatkan jabatan ini sebagai nadi utama kepada penggerak segala aspek urus tadbir dalam komposisi PDRM.
Beliau turut menggesa warga Jabatan Pengurusan dan warga PDRM keseluruhannya agar sentiasa peka dengan aplikasi laman sosial yang sedia ada agar seiring dengan cabaran dan ancaman semasa yang tidak dapat dipandang remeh, jika disalahguna mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Antara yang hadir dalam lawatan kerja tersebut, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), SAC Datuk Mohd Khalil Mohd Kader, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan), DCP Dato’Asri Yusoff, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato’ Mohd Fuad Abd Latiff, barisan pegawai kanan, anggota dan pegawai awam Jabatan Pengurusan.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar menandatangani buku lawatan.
Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah ketika menyampaikan taklimat.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dalam sesi taklimat dan penerangan.
Antara pegawai kanan yang memberikan taklimat ringkas.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan tertinggi Jabatan Pengurusan PDRM.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar bergambar kenangan bersama Pengarah Pengurusan PDRM, CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar bergambar kenangan bersama barisan pegawai awam Jabatan Pengurusan PDRM.