Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Lapan Lelaki Terbabit Dengan Sindiket Dadah Ditahan

Diterbitkan: 20 Apr 2015 3.15 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 20 April - Lapan lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditahan di tiga lokasi berasingan dalam serbuan polis sejak 10 April lalu.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/lapan-lelaki-terbabit-dengan-sindiket-dadah-ditahan
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 05:48 MYT

Kuala Lumpur, 20 April - Lapan lelaki yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditahan di tiga lokasi berasingan dalam serbuan polis sejak 10 April lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata dalam kes pertama pada 10 April, pihaknya telah menyerbu sebuah kedai servis kereta di Danau Kota, Setapak dan menahan tiga lelaki berumur 18 hingga 21 tahun.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di premis berkenaan polis menjumpai 49 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan berwarna hijau dan merah.

"Ketulan dan serbuk itu adalah heroin seberat 82 gram, selain itu polis turut menjumpai dua lagi paket mengandungi ketulan kristal syabu seberat 4.0 gram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan telah dituduh di mahkamah pada 14 April lalu.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 12 April di sebuah rumah di Sungai Mulia 4, Kampung Sungai Mulia, Batu 5 di Jalan Gombak polis menahan empat lelaki berumur 37 hingga 54 tahun.

Polis telah merampas lapan paket plastik lutsinar mengandungi serbuk heroin seberat 15.1 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi serbuk serta ketulan jernih syabu seberat 25.1 gram.

"Selain itu polis turut menemui satu tiub straw pendek mengandungi serbuk dan heroin seberat 0.3 gram dan satu lagi tiub straw pendek mengandungi heroin seberat 0.2 gram," katanya.

Keempat-empat suspek telah dituduh pada 16 April di mahkamah.

Dalam Kes ketiga, polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun di Lorong Sungai Mulia, Jalan Gombak pukul 11 malam tadi.

"Polis merampas lapan paket plastik lutsinar heroin seberat 15.7 gram dan satu paket plastik ketulan mampat disyaki ganja seberat 1.3 gram serta sebuah paket lutsinar ketulan kristal disyaki syabu seberat 1.4 gram.

Suspek direman selama lima hari bermula hari ini.

"Bagi ketiga-tiga kes dadah ini kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nilai kesemua rampasan dianggarkan RM15,000.- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 20 Apr 2015 3.15 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM