Bayi Dua Bulan Antara 78 Rakyat Myanmar Ditahan Di P Pinang
Bukit Mertajam, 20 April - Sebanyak 78 rakyat Myanmar dari etnik Rohingya yang baru tiba di negeri ini menaiki sebuah tongkang, ditahan di Hujung Batu, Teluk Bahang dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua mereka berusia dua bulan hingga 69 tahun itu dipercayai baru mendarat selepas menaiki tongkang dari Myanmar sejak 8 April lepas.
"Sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan sekumpulan warga Myanmar di tepi jalan di kawasan Hujung Batu itu.
"Pemeriksaan mendapati semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam yang juga pusat penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, di sini hari ini.
Beliau berkata mereka yang terdiri dari 34 lelaki, 19 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan 15 kanak-kanak perempuan, berada dalam keadaan letih dan lesu berikutan kekurangan bekalan makanan.
Abdul Rahim berkata polis turut mendapatkan khidmat doktor untuk menjalankan pemeriksaan terhadap 78 rakyat Myanmar berkenaan berikutan keadaan kesihatan mereka yang teruk.
"Keadaan mereka terutama kanak-kanak terlampau letih dan lesu...dipercayai mereka yang telah berlayar hampir 12 hari itu, kehabisan bekalan makanan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka dikenakan bayaran sehingga RM400 seorang untuk dibawa masuk ke negeri ini melalui jalan laut sebelum diserah kepada pihak majikan untuk bekerja.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kami sedang kesan tekong bot bagi membantu siasatan," katanya.- BERNAMA