Lagi Makmal Dadah Dibongkar Polis Pulau Pinang Rampas Dadah
Kepala
Batas, 25 Jun - Polis Pulau Pinang membongkar sebuah lagi makmal
pemprosesan dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.7 juta
dalam serbuan di sebuah rumah di Butterworth, di sini awal pagi Sabtu
lepas.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan 12.15 pagi itu polis turut menahan empat orang termasuk dua wanita, seorang daripadanya warga Indonesia.
"Hasil
maklumat yang kita perolehi, pasukan polis telah menyerbu dua lokasi
berasingan iaitu di George Town serta Butterworth dan menahan empat
orang termasuk dua wanita berusia 30 hingga 50 tahun.
"Susulan
penahanan itu, kita menyerbu sebuah rumah teres di Butterworth dan
berjaya membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah oleh sindiket
berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya
dalam serbuan itu polis merampas 11.3 kilogram dadah jenis heroin, 2.6
kg dadah jenis heroin nombor tiga, 49 kg kafein, peralatan memproses
dadah dan bahan-bahan kimia untuk memproses bahan terlarang itu.
"Semua
dadah itu bernilai RM3.7 juta dan dipercayai sindiket berkenaan telah
beroperasi sejak empat bulan lepas dan mengedar dadah di sekitar Pulau
Pinang serta Johor," katanya.
Abdul
Rahim berkata turut disita dalam serbuan itu ialah tiga kereta jenis
BMW, Mitsubishi Lancer dan Honda City serta wang tunai sebanyak
RM450,000.
"Selain
itu, kita turut menyita wang simpanan dalam enam akaun bank dan barang
kemas milik anggota sindiket berkenaan. Keseluruhan nilai sitaan ialah
RM861,105.88," katanya.
Katanya keempat-empat suspek direman sehingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis kini giat mengesan saki-baki anggota sindiket terbabit yang dipercayai masih berada di negara ini.
Bulan
lepas, polis Pulau Pinang membongkar dua makmal pemprosesan dadah
termasuk sebuah di dusun buah-buahan di Batu Itam, Balik Pulau yang
menyaksikan empat ditahan selain merampas dadah bernilai RM1.2 juta.
Sumber : BERNAMA