Lagi Cubaan Wanita Thai Seludup Ganja Di Kedah
ALOR
SETAR, 22 Januari 2012 (Bernama) -- Polis mematahkan satu lagi cubaan
wanita Thai menyeludup dadah menerusi stesen bas Shahab Perdana di sini.
Ini
berikutan penahan seorang wanita Thai berumur 31 tahun bersama-sama
23.7 kilogram ganja bernilai RM67,000 kira-kira 8.45 malam tadi.
Ini
merupakan kes ketiga dalam tempoh dua bulan di mana wanita Thai ditahan
kerana cuba menyeludup ganja menerusi stesen bas yang sama.
Ketua
Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kes terbaru itu, suspek
ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri
ketika dipercayai hendak menaiki bas ke Kuala Lumpur.
"Suspek
masuk ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan menaiki bas
dari Changlun ke Shahab Perdana, dipercayai hendak menukar bas untuk ke
Kuala Lumpur.
"Polis
menemui 24 ketulan mampat dipercayai ganja dalam dua beg yang dibawa
suspek dan percaya dadah ini hendak dibawa ke Lembah Klang untuk
diserahkan kepada sindiket di sana," katanya dalam sidang media di sini
Ahad.
Beliau
berkata siasatan turut mendapati suspek masuk ke negara ini sebanyak
tiga kali sebelum ini dan malam tadi merupakan kali keempat dia berbuat
demikian.
Ahmad
berkata suspek tersebut berasal dari Bangkok dan dia direman selama
tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya
1952.
"Setakat
ini kita tidak dapat tentukan kaitan (antara ketiga-tiga kes), tapi
percaya ia melibatkan sindiket di negara jiran yang menggunakan
wanita-wanita ini untuk menyeludup dadah," katanya.
Seorang
wanita Thai berusia 29 tahun ditahan pada Disember lalu kerana cuba
menyeludup 17.4 kilogram ganja manakala seorang lagi yang berumur 28
tahun ditahan pada 8 Jan lalu kerana didapati membawa 12,950 gram ganja.