
Article
Kpn Turun Padang Nafi Isu Tular Berkenaan Bangunan Berek Polis Lama Dijadikan Penempatan Pegawai Psp
Klang, 10 Ogos 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meninjau lokasi bangunan berek polis lama yang kononnya dijadikan lokasi p...
Klang, 10 Ogos 2023 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain hari ini meninjau lokasi bangunan berek polis lama yang kononnya dijadikan lokasi penginapan Pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang akan bertugas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kontinjen Selangor pada 12 Ogos depan.
Tinjauan dan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong mengesahkan bahawa isu yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab adalah tidak tepat, apabila penempatan sebenar yang telah disediakan oleh pihak kontinjen adalah di Balai Polis Pelabuhan Klang.
Menurutnya punca kejadian hanyalah masalah komunikasi di antara pegawainya dengan rakan sahabat daripada PSP.
Dalam video berdurasi satu minit 14 saat yang tular baru-baru ini memaparkan keadaan premis usang dengan tidak menghiraukan kebajikan warga Pasukan yang kononnya dijadikan lokasi penempatan menjelang PRN, Sabtu depan.
Tan Sri Razarudin yang ditemui selepas tinjauan memaklumkan, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak KPD bagi menyelesaikan isu tular tersebut kerana kebajikan warga Polis Diraja Malaysia mestilah dijadikan keutamaan.
"Aspek kebajikan, bukan sahaja petugas PSP malah semua bantuan sumber manusia dari luar Kontinjen Selangor sentiasa diberi keutamaan oleh Pasukan," tegas Tan Sri Razarudin.
Hadir sama dalam lawatan tadi ialah Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, DCP Dato' Muhammed Hasbullah Ali dan Timbalan KPD Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah.
Jurugambar: Lans Koperal Bryanlie Mustin.





