
Artikel
Kpn Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempadan Negara Bilangan 2 Tahun 2023
Kuala Lumpur, 10 Ogos 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempad...
Kuala Lumpur, 10 Ogos 2023 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keselamatan Sempadan Negara bilangan 2 bagi tahun 2023 bersama jabatan dan agensi kerajaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, petang tadi.
Mesyuarat yang turut dihadiri oleh barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM itu merupakan kesinambungan dari mesyuarat yang telah diadakan pada April lalu bertujuan mencari penyelesaian bersama di antara jabatan dan agensi kerajaan dalam menjamin keselamatan di sepanjang kawasan sempadan negara.
Dalam ucapan yang disampaikan, beliau berharap perkongsian maklumat risikan antara agensi membolehkan tindakan pantas dan tepat dapat dilaksanakan dalam membanteras jenayah serta mampu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.
Tan Sri Razarudin turut ditaklimatkan mengenai keselamatan sempadan negara oleh wakil-wakil dari kementerian dan agensi yang terdiri daripada Cawangan Khas PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Selain itu, beliau turut ditaklimatkan mengenai isu pemalsuan dokumen perjalanan yang menjadikan Malaysia sebagai hub transit untuk sindiket oleh Pengarah Bahagian Sekuriti Penerbangan, Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Encik Mohammad Hafiz Salleh.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Tuan Zulkifli Abidin, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi keselamatan negara, barisan Komander PDRM serta wakil-wakil daripada setiausaha kerajaan negeri melalui telesidang.
Jurugambar: Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.








