Kpn Rasmi Balai Polis Bandar Baru Klang
Klang - 14 Februari 2008. Inspektor Jeneral Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara telah merasmikan Balai Polis Bandar Baru Klang, Selangor.
Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah meluluskan penubuhan sebanyak 107 buah Balai Polis dan 55 Pusat Komuniti Polis di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
" Penubuhan Balai dan Pusat Komuniti Polis itu merupakan agenda nasional bagi mendekatkan masyarakat dengan pihak polis dan mempertingkatkan lagu perkhidmatan polis terhadap masyarakat ", kata YDH Tan Sri Musa ketika berucap merasmikan Balai Polis Bandar Baru Klang.
Bermula pada 15 Februari 2008, sebanyak 60 Balai Polis dan 55 Pusat Komuniti Polis yang baru ditubuhkan akan memulakan operasinya. Balai dan Pusat Komuniti Polis itu ditempatkan di premis perniagaan atau rumah kedai yang telah dikenal pasti.
Di Kuala Lumpur sebanyak 16 Balai Polis dan 20 Pusat Komuniti Polis, manakala 20 Balai Polis dan 15 Pusat Komuniti Polis di Selangor serta 9 Balai Polis dan 10 Pusat Komuniti Polis di Johor dan di Pulau Pinang 15 Balai Polis dan 10 Pusat Komuniti Polis dibuka untuk beroperasi.
Menurut YDH Tan Sri Musa, sebanyak 107 buah Balai Polis akan dibuka. Fasa kedua dengan baki sebanyak 47 buah lagi iaitu 5 di Kuala Lumpur dan 20 di Selangor yang akan beroperasi pada 15 Mac 2008.
" Manakala fasa ketiga 22 buah lagi iaitu 5 di Kuala Lumpur dan 17 di Selangor akan beroperasi mulai 15 April 2008 ", ujar YDH Tan Sri Musa.
Pada peringkat awal, kekuatan keanggotaan di setiap Balai Polis itu seramai 8 orang dengan diketuai oleh seorang anggota berpangkat Sarjan.
"Adalah menjadi harapan saya dengan kewujudan Balai Polis Bandar Baru Klang ini, ianya akan dapat menyediakan satu lagi perkhidmatan kepolisan yang lebih efisien dan menyeluruh kepada seluruh masyarakat di kawasan ini ".
" Pendekatan yang diambil oleh PDRM, bukan sahaja menyahut saranan YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia, tetapi juga untuk memenuhi kehendak masyarakat yang amat memerlukan kehadiran polis agar sentiasa berdekatan dengan mereka ".
Demikian kata YDH Tan Sri Musa mengenai pendekatan yang diambil oleh PDRM dengan menyewa premis, bukan sahaja berdekatan dengan masyarakat, malahan akan dapat mempercepatkan lagi respon pihak polis terhadap sesuatu laporan jenayah di kawasan tersebut.
Melalui penubuhan Balai Polis Bandar Baru Klang itu, adalah diharapkan masyarakat setempat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan oleh PDRM.
Balai Polis Bandar Baru Klang terletak di No 32, Jalan Tiara 2A/KU1, Pusat Perniagaan Bandar Baru Klang, Selangor. Balai itu diketuai oleh Sjn. Raja Ami Bin Raja Saleh.
Sesungguhnya jalinan kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi menyalurkan maklumat atau menjadi 'mata dan telinga ' polis supaya matlamat membasmi atau mengurangkan kadar jenayah akan tercapai.

Dato' Khalid Abu Bakar Ketua Polis Selangor menerangkan sesuatu kepada Dato' Hj. Abdul Rahman Palil Exco Kerajaan Negeri Selangor (Batik Merah) dan hadir sama Dato' Ismail Hj. Omar Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Dato' Hj. Hassan Ketua Polis Negara dan ACP Mohamad Yusop Ketua Polis Daerah Klang, Selangor.

Balai Polis Bandar Baru Klang Selangor disewa di premis perniagaan terletak di No. 32, Jalan Tiara 2AKU1, Pusat Perniagaan Bandar Baru Klang, Selangor.