
Artikel
Kpn Hadir Sempurnakan Pemakaian Pangkat Jawatan Kp Perak
Ipoh, 24 Ogos 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hadir menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jaw...
Ipoh, 24 Ogos 2022 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani hadir menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis (KP) Perak yang diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
CP Dato' Mohd Yusri yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Timbalan KP Pahang, telah diberi kepercayaan oleh Pucuk Pimpinan PDRM untuk menerajui Polis Perak dengan harapan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik buat seluruh masyarakat di negeri Darul Ridzuan.
Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Acryl Sani merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada CP Dato' Mohd Yusri atas pelantikan sebagai KP Perak yang baharu.
“Pelantikan ini dibuat secara bijaksana setelah mempertimbangkan kredibiliti dan daya kepimpinan yang dimiliki oleh Dato’ Mohd Yusri untuk menggendong tanggungjawab yang diamanahkan ini”, ujarnya.
KPN juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada DCP Dato’ Pahlawan Azizi kerana telah melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang memangku jawatan KP Perak.
Seusai majlis, Tan Sri Acryl Sani turut mengadakan perjumpaan secara tertutup bersama barisan kepimpinan Kontinjen Perak untuk menyampaikan amanat beliau.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, CP Dato' Seri Sahabudin Abd Manan, Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, DCP N. Murtaza Mahmud, Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) JLog, Bukit Aman, SAC Azizee Ismail, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Kamaruzaman Abdullah, Komander Briged Utara PGA (Pasukan Gerakan Am), SAC Hj. Nordin Hj. Manan, Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim, barisan Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Perak serta Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin, Lans Koperal Muhammad Afiq Aizat Kamarudin dan Lans Koperal Muhamad Izqhar Zainal Ibidin.