
Artikel
Kpn Bersama Warga Bukit Aman Hayati Surah Al Insan Dalam World Quranhour
Kuala Lumpur, 13 April 2023 – Amalan membaca kitab suci al-Quran memberi 1,001 manfaat dan syafaat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan serta kecemerl...
Kuala Lumpur, 13 April 2023 – Amalan membaca kitab suci al-Quran memberi 1,001 manfaat dan syafaat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan serta kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat.
Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik Program World #QuranHour yang diadakan secara serentak di seluruh dunia hari ini, melalui World #QuranHour Peringkat Bukit Aman Tahun 1444H/2023M yang dihadiri Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani bersama warga kerja Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman di Masjid Bukit Aman, di sini.
Pada tahun ini, surah al-Insan dipilih dengan membawa tema ‘memanusiakan manusia’ melalui agenda “Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World”.
Majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang itu memperdengarkan bacaan surah al-Insan oleh qari jemputan, Encik Muhammad Ahmad Zahid yang merupakan Johan Bacaan Terbaik di Dubai International Holy Quran Award bersama Sarjan Mejar Hj. Razlee Asmat iaitu Johan Qari Peringkat PDRM Bukit Aman pada tahun 2018.
Sementara itu, bacaan tafsir pada setiap ayat disempurnakan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad.
Program yang bermula sejak 2015 itu juga dilihat sebagai usaha menggalakkan umat Islam berinteraksi dengan al-Quran agar mereka sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Azri Ahmad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Azmi Abu Kassim, para pegawai kanan, anggota serta pegawai awam.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.






