Kontinjen Polis Diraja Malaysia Menyertai Perarakan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur - 31 Ogos 2008. Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke 51 telah diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Dengan tema 'Perpaduan Teras Kejayaan' rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian negara tercinta selama 51 tahun mencapai kemerdekaan. 51 tahun kemerdekaan, perhimpunan terbesar rakyat malaysia dari berbilang kaum ini membuktikan semangat cintakan tanah air yang menjadi tunjang perpaduan antara kaum walaupun berbeza latar belakang, politik dan agama.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah mencemar duli berangkat menyaksikan perbarisan kemerdekaan ke 51 tahun ini dan disambut dengan 14 das tembakan meriam. Turut hadir, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bersama isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan isteri, Menteri-menteri serta barisan pemimpin negara dan isteri. Hadir sama YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, dif-dif jemputan dan juga duta-duta negara asing.
Lebih 16,000 orang telah menyertai perbarisan Kemerdekaan ke 51 Tahun yang merangkumi peserta mewakili kontinjen seramai 10,353 orang, 2,880 orang persembahan padang, kumpulan koir seramai 2,000 orang dan peserta komponen rakyat bersepadu seramai 1,200 orang.
Polis Diraja Malaysia menghantar seramai 835 orang pegawai dan anggota menyertai perarakan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke 51 Tahun dan mempamirkan beberapa buah kenderaan yang digunakan di dalam pasukan kepada hadirin yang hadir.

Turut sertai..Bersemangat, pesara-pesara polis yang menyertai perbarisan Kemerdekaan ke 51 Tahun

Pancaragam Pusat PDRM mengetuai perarakan kontinjen Polis Diraja Malaysia di hadapan pentas utama

K-9, Unit Anjing Pengesan PDRM

Kenderaan Cawangan Trafik...

Unit Berkuda PDRM

Motosikal POLMAS ...Polis dan Masyarakat

Kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan

Buat pertama kalinya dipertontonkan kenderaan dan bot yang digunakan oleh Pasukan Polis Marin