
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Wang Palsu Sasar Peniaga Kecil Pengarah Jsjk
Disebabkan kegiatan itu masih ada, semua premis perniagaan bertaraf pasar raya ke atas menyediakan mesin cahaya ultraungu UV di kaunter-kaunter pembayaran untu...
Petaling Jaya, 19 Januari 2022 - Awas! urus niaga menggunakan wang palsu. Walaupun jenayah itu tidak membimbangkan, namun aktiviti mencetak sendiri wang palsu masih berlaku.
Disebabkan kegiatan itu masih ada, semua premis perniagaan bertaraf pasar raya ke atas menyediakan mesin cahaya ultraungu UV di kaunter-kaunter pembayaran untuk membendung tertipu dengan wang kertas palsu yang biasanya menggunakan RM50 dan RM100.
Sasaran penjenayah membabitkan peniaga-peniaga kecil di tepi jalan atau di kawasan pedalaman yang tiada mesin UV untuk menyemak ketulenan wang.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), CP Dato’ Mohd Kamarudin Md Din berkata, lebih 80 peratus kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berkaitan penemuan wang palsu di kaunter-kaunter bank.
Menurut beliau, wang palsu berkenaan dipercayai dicetak sendiri oleh individu yang terlibat bagi melakukan sesuatu pembayaran sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah berkenaan.
"Siasatan mendapati, penggunaan wang palsu pada masa ini lebih tertumpu kepada kegiatan individu terutama mereka yang terdesak untuk membeli dadah dan penipuan pembelian telefon bimbit melalui laman sosial.
"Mereka ini akan menggunakan wang-wang palsu yang dicetak sendiri sebelum membuat sesuatu pembayaran. Jadi, boleh disimpulkan jenayah ini dilakukan oleh individu yang mempunyai tabiat kecenderungan untuk melakukan jenayah," katanya di sini semalam.
Bacaan lanjut berkenaan jenayah pemalsuan wang di negara ini, melalui keratan akhbar terbitan Utusan Online.