![[KERATAN AKHBAR PILIHAN] TRAGEDI BALAI POLIS ULU TIRAM: TRAGEDI BERDARAH TERUS DIKENANG](/assets/images/rmp.webp)
Artikel
[KERATAN AKHBAR PILIHAN] TRAGEDI BALAI POLIS ULU TIRAM: TRAGEDI BERDARAH TERUS DIKENANG
Johor Bahru, 17 Mei 2025 - Hari ini genap setahun serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, di sini, yang bukan saja menggemparkan negara, malah itu terus di...
Johor Bahru, 17 Mei 2025 - Hari ini genap setahun serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, di sini, yang bukan saja menggemparkan negara, malah itu terus dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah keselamatan negara.
Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun terkorban dalam serangan berdarah jam 2.54 pagi itu.
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi meninggal dunia akibat ditetak di belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq maut akibat ditembak di pipi sehingga menembusi kepala.
Mereka ialah anggota ronda cegah jenayah di balai polis berkenaan yang baharu berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia kira-kira dua tahun.
Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan parah, namun diselamatkan dan kini sudah kembali bertugas.
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq yang diiktiraf sebagai wira negara dinaikkan pangkat kepada Koperal secara anumerta (posthumous) sebulan selepas serangan berdarah itu, manakala Mohd Hasif pula dinaikkan pangkat ke Sarjan.