
Keratan Akhbar Pilihan Tangkap Jika Pasang Bendera Terbalik
Johor Bahru, 13 Ogos 2020 - Perbuatan memasang bendera Malaysia atau bendera Johor secara terbalik sama ada sengaja atau tidak bukan perkara remeh.
Ketua Polis Johor, CP Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, tidak akan ada lagi tolak ansur atau amaran terakhir selepas ini terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut.
"Ini bukan isu remeh. Kita rakyat Malaysia yang sudah merdeka selama 63 tahun tetapi masih pasang bendera Malaysia terbalik.
"Kita akan tangkap semua yang terlibat (mereka yang memasang bendera Malaysia terbalik), kita nak semua pihak bertanggungjawab," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.
Kelmarin, Dato’ Ayob Khan memberi amaran terakhir akan menangkap dan melakukan siasatan terhadap mana-mana pihak yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik susulan sebuah sekolah jenis kebangsaan di Kluang yang berbuat demikian pada 4 Ogos lalu.
Alasan diberikan sekolah itu ialah seorang kakitangannya tersilap memasang bendera dan 'tidak disedari' sebelum Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Tuan Mohd Abduh Ismail turun menyiasat dan memberikan nasihat, namun tiada sebarang tindakan diambil.
Susulan kenyataan Dato' Ayob Khan itu terdapat pihak mengkritik amaran tersebut yang disifatkan sebagai isu remeh dan pihak polis tidak perlu mengambil tindakan terhadap perbuatan tersebut.
Begitu juga katanya, boleh disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda RM1,000 jika sabit kesalahan.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti berikut.
Sumber: Sinar Harian