
Artikel
Keratan Akhbar Pilihan Kenangan Berbuka Dengan Hanya Sebiji Kurma
Kota Bharu, 12 Mei 2021 - Setiap kali Ramadan, Ketua Polis Kelantan, DCP Dato' Shafien Mamat pastinya tidak akan melupakan kenangan terindah ketika menerima se...
Kota Bharu, 12 Mei 2021 - Setiap kali Ramadan, Ketua Polis Kelantan, DCP Dato' Shafien Mamat pastinya tidak akan melupakan kenangan terindah ketika menerima sebiji kurma daripada seorang pengguna jalan raya sebaik terdengar laungan azan.
Dato' Shafien berkata, ketika itu beliau sedang bertugas mengawal lalu lintas di lampu isyarat di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Menurutnya keadaan ketika itu trafik sangat sesak dan beliau tidak sedikit pun bersedia untuk berbuka puasa kerana perlu bertugas.
"Ketika azan berkumandang, seorang pengguna jalan raya menghampiri saya dan menghulurkan kurma. Saya terus berbuka dan menyambung semula tugasan.
"Walaupun hanya sebiji kurma, namun keprihatinan pengguna terhadap anggota polis sangat dihargai dan saya ingat hingga sekarang," katanya yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berpangkat DSP pada tahun 2006.
Beliau berkata, berada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada yang berjawatan tinggi hingga bawahan waktu berbuka dengan keluarga boleh dikira dengan jari.
"Sebab itu, saya amat simpati pada anggota yang bertugas di lapangan terutama pada bulan puasa.
"Apabila kita sabar dan berhemah, orang akan menyokong kita. Bersyukurlah, bertuah kerana kerja polis adalah satu amanah untuk menjaga keselamatan negara Iebih-lebih lagi ketika darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerangi COVID-19.
"Seperti juga besar nilainya walaupun sekadar sebiji kurma tetapi cukup untuk menggambarkan rakyat menyokong dan menghormati tugas polis. Inshallah dan yakinlah Allah S.W.T. akan memberi ganjaran kebaikan," katanya.
Bacaan lanjut di keratan akhbar Sinar Harian seperti di lampiran.