
Keratan Akhbar Pilihan Judi Dalam Talian Polis Temui Wang Rm1 4 Juta Dalam Rumah Teres
Petaling Jaya, 11 November 2020 - Polis merampas wang tunai berjumlah RM1.4 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres, di Ara Damansara di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Tuan Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dalam serbuan pada jam 1.15 tengah hari itu, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri disyaki terbabit aktiviti perjudian dalam talian.
"Kita tangkap seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun dan isterinya, warga tempatan yang juga bekas pekerja bank berusia 27 tahun.
"Hasil pemeriksaan tujuh komputer riba dimiliki suspek, kita percaya mereka terbabit dalam jenayah komersil berkaitan mata wang digital atau kripto, Bitcoin.
"Kemudian, kita menemui sebuah peti besi di rumah itu. Mereka enggan bekerjasama memaksa polis memanggil bomba untuk membuka peti itu yang mengandungi wang tunai terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Tuan Nik Ezanee berkata, hasil soal siasat suami isteri berkenaan membawa kepada tangkapan dua warga asing berusia 31 dan 30 tahun di sebuah kondominium di Sunway pada hari sama.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Berita Harian berikut.
Sumber: Berita Harian Online