
Article
Keratan Akhbar Pilihan Ibu Konstabel Muhamad Syafiq Minta Rakan Tanam Pakaian Arwah Di Balai Polis Ulu Tiram Sebagai Kenangan
Kuantan, 8 Jun 2024 - “Emak tak sanggup nak tengok baju terakhir yang arwah Syafiq pakai, jadi kami sekeluarga bersepakat untuk minta kawan-kawan arwah tanam p...
Kuantan, 8 Jun 2024 - “Emak tak sanggup nak tengok baju terakhir yang arwah Syafiq pakai, jadi kami sekeluarga bersepakat untuk minta kawan-kawan arwah tanam pakaian itu di Balai Polis Ulu Tiram pada 29 Mei lalu.” Demikian kata Nurul Syuhada Ahmad Said, 31, kakak sulung kepada Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, anggota polis yang maut dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu.
Nurul Syuhada berkata, pada mulanya mereka sekeluarga berhasrat untuk menyimpan uniform terakhir arwah, namun ibunya, Puan Aini Mohd. Shariff, 57, meminta agar baju berkenaan ditanam di balai tempat arwah bertugas sebagai kenangan.
"Hanya baju dan seluar arwah yang ditanam, barang lain seperti kasut, tali pinggang dan jam tangan kami sedekah kepada kawan-kawan arwah di sana (Balai Polis Ulu Tiram).
"Emak dan ayah (Encik Ahmad Said Md. Piah) juga masih terkesan dengan kejadian berlaku. Walaupun reda dengan peristiwa itu, tetapi apabila teringat akan arwah Syafiq mesti sedih dan menangis,” katanya.
Nurul Syuhada yang menetap di Batu Pahat, Johor berkata, mereka sekeluarga juga baru menerima barangan peribadi dan kelengkapan rumah milik arwah Syafiq, namun masih tidak membuka lagi kotak yang menyimpan barangan berkenaan.
“Khamis lalu barangan peribadi arwah seperti baju, seluar, kasut serta kelengkapan rumah termasuk peti ais dan mesin basuh telah dihantar ke rumah keluarga di Taman Seri Mahkota Jaya.
“Tetapi emak dan ayah masih tidak membuka kotak yang menyimpan barangan peribadi arwah sebab masih terbayang susuk tubuh arwah.
"Hanya beberapa helai pakaian arwah Syafiq yang sedia ada di rumah keluarga telah disedekahkan kepada rakan-rakannya. la sebagai kenangan terakhir dan semoga pahala berpanjangan untuk arwah,” ujarnya.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Kosmo!