
Article
Keratan Akhbar Pilihan Hari Pahlawan 2021 Thor Keat Tolak Komunis Pilih Polis
Baling, 18 Ogos 2021 - Ditawarkan menyertai gerakan Parti Komunis Malaya ketika berusia 18 tahun, namun bekas Lans Koperal Ooi Thor Keat menolak kerana merasak...
Baling, 18 Ogos 2021 - Ditawarkan menyertai gerakan Parti Komunis Malaya ketika berusia 18 tahun, namun bekas Lans Koperal Ooi Thor Keat menolak kerana merasakan ia bukan perjuangan yang betul, sebaliknya memilih menyertai Pasukan Polis Hutan (PPH) yang sekarang dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).
Antara tugas penting beliau sewaktu berkhidmat dengan pasukan polis ialah menjaga bilik rehat Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ketika Rundingan Baling pada Disember 1955.
Thor Keat yang kini berusia 90 tahun berkata, sebelum menyertai PPH, ramai rakan berketurunan Cina mengajaknya menyertai gerakan komunis tetapi ditolak kerana tidak bersetuju dengan pemberontakan PKM di negara ini.
Dia mengambil keputusan menyertai PPH dengan bantuan seorang pegawai polis yang dikenali Inspektor Lazim dan bertugas di Kem Lapangan Terbang Gunung Rapat, Ipoh.
Mengimbau pengalamannya menjaga Chin Peng, beliau memberitahu, tanggungjawab itu walaupun hanya dua hari iaitu 28 dan 29 Disember, namun sebagai anggota polis baru berusia 19 tahun, Thor Keat dapat melihat wajah Chin Peng yang merupakan individu paling dikehendaki pihak berkuasa ketika itu dari dekat.
Malah, beliau juga berpeluang beberapa kali memasuki bilik rehat Chin Peng menghantar kopi buat ketua PKM itu.
Ikuti pengalaman Lans Koperal Ooi Thor Keat sewaktu bertugas memerangi PKM di keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia seperti di lampiran.