
Keratan Akhbar Pilihan Hari Pahlawan 2021 Peluru Macam Hujan Atas Kepala
Lipis, 20 Ogos 2021 - Berpuluh-puluh peluru melintas di atas kepala ketika serangan malam, kekal menjadi pengalaman cemas seorang warga emas ketika mempertahan tanah air dalam tempoh darurat.
Bekas pengawal kampung (home guard), Encik Kamarudin Li, 82, berkata detik cemas itu dialaminya dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.
Katanya, beliau masih mengingati dengan jelas pertempuran kira-kira jam 9.30 malam bersama 10 anggota lain.
"Peluru macam 'hujan' melintas beberapa inci atas kepala saya. Pasukan diketuai Allahyarham Nong Taib Santan atau lebih dikenali sebagai Pawang Nong bertempur hampir sejam.
"Seorang pengganas komunis ditembak mati dan beberapa rakannya cedera, berdasarkan kesan darah yang dikesan," katanya ketika ditemui.
Beliau pernah ditugas membawa bot angkut polis dan untuk kegunaan penduduk Kuala Lipis ke Kuala Medang ketika darurat.
"Kami berkhidmat tanpa gaji tetapi tetap sanggup menggadai nyawa mempertahan tanah air dalam suasana kehidupan yang susah pada waktu itu," katanya.
Bagi mengenang jasanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan inisiatif Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Nor, membina rumah secara gotong-royong untuk Encik Kamaruddin, dianggar berharga RM80,000 awal tahun ini dan sudah boleh diduduki.
Bacaan lanjut seperti dalam akhbar terbitan Berita Harian.