Kerajaan Bersama Pdrm Sentiasa Prihatin Kebajikan Anggota
Bukit Aman , 16 Jun 2011 - Bertempat di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kerajaan melalui Tabung Amanah Perwira Pertahanan Negara (TAPPN) hari ini telah menyampaikan pampasan kewangan kepada 9 orang penerima yang terdiri daripada 3 orang balu, 4 orang anggota yang cedera parah dan 2 orang anggota yang mengalami cedera ringan semasa menjalankan tugas-tugas kepolisan.
Sebelum itu, YDH Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Khalid bin Abu Bakar dalam ucapannya berkata, penubuhan TAPPN adalah untuk meningkatkan kesedaran umum amnya dan keluarga PDRM khasnya tentang keprihatinan kerajaan dan PDRM dalam menjaga kebajikan anggotanya.
"Penubuhannya juga adalah untuk membantu mana-mana anggota keselamatan yang ditimpa musibah semasa melaksanakan tugas dan dalam masa yang sama dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh para balu anggota keselamatan tersebut bagi membesarkan anak-anak yang masih bersekolah sehingga mereka berumur 21 tahun," ujarnya lagi.
Difahamkan, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011, bayaran kepada anggota keselamatan yang terkorban telah dinaikkan kepada dua puluh dua ribu ringgit (RM 22,000) daripada lapan belas ribu ringgit (RM 18,000), anggota yang cedera parah kekal akan mendapat pampasan tiga puluh ribu ringgit (RM 30,000) berbanding dua puluh satu ribu ringgit (RM 21,000).
Anggota keselamatan yang kecederaan parah dan terpaksa berhenti daripada perkhidmatan akan mendapat imbuhan sebanyak lima belas ribu ringgit (RM 15,000) berbanding sebelumnya berjumlah sembilan ribu (RM 9,000), manakala yang mengalami cedera parah kekal tetapi masih boleh bekerja akan mendapat sepuluh ribu lima ratus ringgit (RM 10,500) berbanding sebelumnya iaitu enam ribu lima ratus (RM 6,500).
Anggota yang mengalami cedera parah pula akan mendapat lapan ribu ringgit (RM 8,000) dan kecederaan ringan akan mendapat tujuh ratus lima puluh ringgit (RM 750.00).
Selain daripada itu, fungsi tabung ini juga adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di mana balu kepada anggota keselamatan yang menerima pencen terbitan kurang daripada lapan ratus ringgit (RM 800.00) sebulan akan mendapat bantuan sara hidup daripada tabung ini berbanding empat ratus ringgit (RM 400.00) sebelum ini. Bantuan sara hidup kepada balu akan diberi sehingga anaknya berusia 18 tahun dan bantuan untuk persekolahan anak-anak pula dari tadika sehingga Ijazah tahun lima.
Turut hadir dalam majlis pada hari ini, YDH Dato'-Dato' Pengarah PDRM, Y.Bhg Puan Sri Hajah Suriati binti Md Sobri, Pengerusi PERKEP Malaysia , Y.Bhg Datin Sri Imran binti Ibrahim, Timbalan Pengerusi PERKEP Malaysia, Y.Bhg Alina binti Hashim, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Amanah Raya, Y.Bhg Rosli bin Sairudin, Penolong Setiausaha TAPPN, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan tetamu-tetamu jemputan.
TAPPN telah diwujudkan pada 5 Oktober 1984, hasil dari percantuman Tabung Amanah Kebajikan Perwira Negara dengan Tabung Pertahanan Negara dan telah diwartakan mengikut Akta Parlimen 305 pada 28 Jun 1984.
YDH Datuk Sri Khalid bin Abu Bakar memberikan ucapannya pada majlis ini.
Konst. 170999 Muhammad Fitri Bin Abd. Ghani dari IPD Serdang, salah seorang penerima pampasan pada majlis ini.
YDH Timbalan Ketua Polis Negara sempat berbual bersama Sjn. Muhammad Nazry bin Zainal Abidin, salah seorang penerima pampasan akibat kemalangan jalanraya semasa menjalankan tugas.
YDH Timbalan Ketua Polis Negara menjawab soalan wartawan semasa sidang media diakhir majlis.
Penerima-penerima pampasan bergambar bersama dengan YDH Timbalan Ketua Polis Negara serta isteri dan Pengarah-pengarah PDRM yang lain.