Kejayaan Rampasan Dadah Dalam Tempoh Dua Hari Di Johor Bahru
Dalam tempoh dua hari iaitu 6 hingga 7 April 2010, Cawangan Narkotik IPK Johor telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah di dalam tiga operasi berasingan. Di dalam operasi ini juga polis telah menahan beberapa orang suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.
Di dalam operasi pertama pada 6 April 2010 pada jam 12.45 tengahari, Bahagian Jenayah Narkotik IPD Seri Alam, Johor telah menangkap seorang lelaki dan dua orang perempuan berbangsa India yang berumur di antara 27 hingga 38 tahun di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis telah merampas dadah jenis ketamine dianggarkan seberat 497 gram bernilai RM 5,000 dan dadah jenis ganja dianggarkan seberat 442 gram bernilai RM 1,000.
Pihak polis juga turut merampas harta-harta milik suspek untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1998 iaitu sebuah kereta, sebuah motosikal, wang tunai berjumlah RM 7,000 dan wang tunai Singapura berjumlah $2250.
Ujian air kencing telah dilakukan ke atas semua suspek dan keputusan positif dadah jenis AMP pada lelaki dan seorang perempuan. Didapati suspek lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 32 ADB (Perlucuthakan Harta) 1998. Jumlah nilai keseluruhan dadah dan harta yang dirampas dalam operasi ini berjumlah RM 47,000.
Di dalam operasi yang kedua hari yang sama pada jam 3.30 ptg, Bahagian Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru (Utara) telah menangkap seorang lelaki Melayu berumur 27 tahun di sebuah rumah di Kampung Seri Jaya, Batu 6 1/2, Tampoi Johor.
Dalam serbuan tersebut, polis telah merampas dadah jenis heroin dianggarkan berat 2263 gram yang bernilai RM 70,000 dan dadah jenis syabu dianggarkan seberat 14 gram yang bernilai RM 3,500.
Pihak polis juga turut merampas harta-harta milik suspek untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1998 iaitu dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM 4,300. Jumlah nilai keseluruhan dadah dan harta yang dirampas dalam operasi ini berjumlah RM 147,000.
Dalam siasatan lanjut, ujian air kencing dijalankan ke atas suspek berkeputusan negatif namun dihantar ke hospital untuk ujian lanjut. Suspek juga memiliki rekod jenayah di bawah Sek. 379A dan Sek.411(a). Penglibatan suspek dalam pengedaran dadah masih dalam siasatan. Maklumat awal mendedahkan dadah yang dirampas adalah untuk pengedaran di sekitar Johor Bahru. Siasatan lanjut masih lagi dijalankan.
Di dalam operasi ketiga pada 7 April 2010 pada jam 2.30 pagi, Bahagian Jenayah Narkotik IPK Johor telah menangkap seorang lelaki Melayu berumur 24 tahun di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Dari tangkapan tersebut, polis merampas dadah jenis ganja seberat 22 gram bernilai RM 50 yang ditemui di badan suspek dan 392 gram lagi ditemui di rumah kediaman suspek bernilai RM 800.
Hasil siasatan lanjut, suspek positif dadah jenis ganja setelah ujian air kencing dijalankan ke atasnya.
Hasil rampasan di dalam ketiga-tiga operasi ini bernilai RM 194,850.