Kegiatan Kongsi Gelap 36 Lumpuh Ketua Ditahan
Kejayaan PDRM dalam menangkap seorang lelaki berusia 33 tahun disyaki sebagai Ketua Kumpulan kongsi gelap 36 di Changlun, Ahad lalu telah melumpuhkan satu kegiatan jenayah penyeludupan secara besar-besaran di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang aktif sejak lapan tahun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, suspek yang dikenali sebagai Pak Su ditahan kira-kira pukul 9 malam setelah cuba menyembunyikan diri di negara jiran hampir enam bulan bagi mengelakkan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa. Beliau berkata, penahanan suspek dilakukan menerusi Op Black 4 yang dilancarkan sejak 18 September tahun lalu yang melibatkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman.
Beliau turut berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mendatangkan kerugian besar kepada kerajaan daripada segi cukai membabitkan anggaran nilai kerugian hampir RM100 juta sejak kegiatan itu beroperasi lapan tahun lalu.
Sumber: Utusan Malaysia