Kdymm Sultan Pahang Berangkat Menyaksikan Kursus Litupan Keselamatan
Ulu Kinta, 10 Februari 2009 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, mencemar duli berangkat ke Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, Perak menyaksikan Kursus Litupan Keselamatan.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, telah disambut oleh YDH Deputi Inspektor Jeneral Tan Sri Haji Ismail Haji Omar, Timbalan Ketua Polis dan seterusnya diiringi ke Pentas Diraja di Dataran Kawat, Briged Utara PGA, menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan.
Seterusnya Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah berangkat ke Litar Rentas dan menyaksikan persembahan demonstrasi Rentas Halangan. Kemudiannya Tuanku berangkat ke Rumah CQB dan menyaksikan persembahan tembak jarak dekat.
"Seramai 42 orang yang terdiri daripada 4 pegawai dan 38 anggota Pengawal Peribadi dan Pengiring Rapat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sedang dilatih di Markas Pasukan Gerakan Am Briged Utara PGA di bawah bimbingan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK)".
"Kursus Litupan Keselamatan tersebut merupakan siri yang ke 13 kepada para Pengawal Peribadi dan Pengiring Rapat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah, bermula sejak dari tahun 1997".
Demikian ujar Tan Sri Haji Ismail Haji Omar ketika mempersembahkan ucapan di Mess Pegawai Kanan yang turut dihadiri oleh YDH Dato' Muhammad Fuad Abu Zarim Timbalan Pengarah Jabatan KDN/KA (PGK) dan YDH Dato' Azman Yusof Komander Pasukan Gerakan Am, Briged Utara PGA.
Latihan yang disusun atur merangkumi latihan jasmani, tembak secara offensif dan defensif serta formasi kawalan.
Keberangkatan
tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah
Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ria'ayatuddin
Al-Mu’adzam Shah disambut oleh YDH Deputi Inspektor Jeneral Tan Sri Haji
Ismail Haji Omar Timbalan Ketua Polis Negara

Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah diperkenalkan kepada peserta Kursus Litupan Keselamatan dengan diiringi oleh Tan Sri Haji Ismail
Bergambar
kenangan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan
Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar
Ria'ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.