Kadar Jenayah Di George Town Menurun Melalui Program High Policing
George Town, 10 Dis- Program 'High Profile Policing' (HPP) yang diadakan setiap minggu di daerah Timur Laut membantu mengurangkan kadar jenayah di daerah itu, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata sehingga semalam, kes jenayah di daerah itu menurun sebanyak 9.3 peratus berdasarkan Indeks Jenayah di seluruh daerah Timur Laut, iaitu pengurangan sebanyak 210 kes berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
"Selain bertujuan mengeratkan hubungan kemesraan, program ini juga dapat mengurangkan jurang dalam kalangan masyarakat dengan pihak polis dan ia dilihat mampu membantu menurunkan kadar jenayah.
"Jadi program ini amatlah bertepatan dengan tema Hari Polis pada tahun ini iaitu 'Polis Dengan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya kepada pemberita selepas program HPP di pasar Jelutong, di sini hari ini.
Program yang diadakan pada setiap hari Khamis di seluruh daerah Timur Laut itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan masyarakat dan pihak polis dalam membanteras jenayah.
ACP Mior Faridalathrash berkata program yang dijalankan serentak di seluruh daerah Timur Laut itu turut melibatkan enam hingga tujuh pasukan polis yang tertumpu di kawasan tumpuan seperti pasar awam, pasaraya dan kawasan perumahan yang berisiko dengan aktiviti jenayah.
Katanya selain beramah mesra pihaknya turut mengedarkan risalah-risalah mengenai kesedaran dan maklumat berkenaan kes jenayah kepada orang awam.- BERNAMA