Juragan Dan Anak Kapal Ditahan Seludup Motosikal Makanan
Tawau, 11 Julai- Sebuah motosikal dan sejumlah bahan makanan asas yang cuba diseludup masuk ke negara jiran dipatahkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di perairan Sabah, semalam.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohamad B. Madun berkata, pihaknya menahan sebuah kapal tempatan dalam keadaan mencurigakan setelah berlepas dari Pelabuhan Tawau menuju ke Pulau Nunukan, Indonesia.
"Hasil pemeriksaan ke atas kapal menjumpai sebuah motosikal yang telah dileraikan disembunyikan dalam tong serta beratus bungkusan bahan makanan asas seperti gula, tepung, minyak masak dan Milo dipercayai cuba diseludup ke Indonesia.
"Soal siasat yang dilakukan ke atas juragan dan anak kapal warga asing itu mendapati komponen motosikal itu akan dijual manakala pelbagai makanan asas yang cuba diseludup mendapat permintaan yang tinggi dari rakyat Indonesia menjelang hari raya kelak," katanya.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM163, 161.
Kesemua barang rampasan, juragan dan anak kapal di bawa balik ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Akta Kastam 1967.