Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Jsjn Catat Kejayaan Membanggakan Sepanjang Tahun 2013

Diterbitkan: 18 Jun 2014 7.32 AM Dikemas kini: 15 Aug 2026 7.37 PM
Kuala Lumpur, 6 Jan – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM mencatatkan kejayaan membanggakan dengan tertumpasnya sejumlah sindiket pengedaran dadah, hasil komitmen dan usaha berterusan pihak ..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/jsjn-catat-kejayaan-membanggakan-sepanjang-tahun-2013
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:53 MYT

Kuala Lumpur, 6 Jan – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM mencatatkan kejayaan membanggakan dengan tertumpasnya sejumlah sindiket pengedaran dadah, hasil komitmen dan usaha berterusan pihak polis bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah sepanjang operasi dijalankan pada tahun lalu.

CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah JSJN berkata pihak polis telah membuat tangkapan terhadap 175,198 individu di atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan narkotik. Kenyataan tersebut dinyatakan dalam satu sidang media yang diadakan di Bukit Aman, pagi tadi.

Mengulas lanjut, jumlah berkenaan adalah tangkapan ke atas 13,667 pengedar kecil dadah dan penanam pokok ganja manakala baki 161,531 individu ditahan kerana memiliki, menyalahguna dan menagih dadah.

Jumlah tangkapan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding tangkapan yang dibuat pada tahun 2012 iaitu seramai 171,649 tahanan.

Penglibatan warga asing dalam aktiviti dadah di negara ini berjaya dihidu pihak polis dengan penangkapan 4,284 warga asing yang terlibat dalam pelbagai jenayah narkotik. Jumlah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 49 peratus berbanding penahanan 2,872 warga asing bagi tahun 2012.

Hasil daripada operasi yang dijalankan pada tahun lalu, pihak polis juga berjaya merampas 11.32 tan, 42,718 liter, 1.12 juta biji dadah pelbagai jenis.

Kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM 402.73 juta dengan nilai rampasan meningkat sebanyak enam peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM 381.09 juta.

Beliau turut menambah, sepanjang tahun lepas JSJN turut mempergiatkan operasi mengesan dan membongkar makmal haram di mana sebanyak 34 buah makmal berjaya dikesan dan sejumlah 135 individu berjaya ditahan.

Bagi tindakan pencegahan pula, seramai 864 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 yang bertujuan membanteras dalang di sebalik aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan.

JSJN juga berjaya menyita harta yang disyaki hasil daripada pengedaran dadah yang dianggarkan bernilai RM 94.72 juta berbanding nilai sitaan yang dibuat pada tahun sebelumnya iaitu berjumlah RM 54.43 juta.

Pihak polis juga berjaya merampas tujuh pucuk pistol, sepucuk semi-auto, enam pucuk revolver, dua laras rifle, dua laras senapang patah, lima laras senapang angin, selaras senapang buatan sendiri, 1,386 butir peluru dan sebutir bom tangan sepanjang operasi yang dijalankan sepanjang tahun lalu.


Kejayaan Op Cantas Khas

Sebagai tambahan kepada kejayaan yang dicatatkan, Op Cantas Khas yang bermula pada 20 November dan berakhir pada 20 Disember lalu telah membawa hasil yang membanggakan dengan sejumlah 14,228 serbuan, pemeriksaan dan penggeledahan telah dijalankan oleh pihak polis dengan 14,896 orang telah ditahan dengan pelbagai kesalahan melibatkan narkotik.

Hasil daripada operasi tersebut juga pihak polis berjaya merampas 835 kilogram, 11,845 liter dan 137,724 biji dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM 30.82 juta.

Pihak polis juga berjaya merampas tujuh pucuk pistol, sepucuk semi-auto, enam pucuk revolver, dua laras rifle, dua laras senapang patah, selaras rifle, selaras senjatapi buatan sendiri, empat laras senapang angin, satu kelopak dan 50 butir peluru.

Jsjn Catat Kejayaan Membanggakan Sepanjang Tahun 2013

Sumber : Unit Portal Dan Laman Facebook Rasmi Bukit Aman

ArtikelDiterbitkan 18 Jun 2014 7.32 AMDikemas kini 15 Aug 2026 7.37 PM