
Artikel
Jalinan Polis Dengan Masyarakat Penting Dalam Mewujudkan Persekitaran Selamat Kpn
Kuala Lumpur, 19 Mei 2023 – Jalinan kerjasama antara polis dengan masyarakat dalam mencegah aktiviti jenayah amat penting bagi mewujudkan persekitaran selamat...
Kuala Lumpur, 19 Mei 2023 – Jalinan kerjasama antara polis dengan masyarakat dalam mencegah aktiviti jenayah amat penting bagi mewujudkan persekitaran selamat di negara ini, selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” yang menjadi pedoman kepada seluruh warga Sang Saka Biru.
Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dalam amanatnya di Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang diadakan di Dataran Kompleks 3, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
“JPJKK telah dipertanggungjawab untuk mewujudkan "engagement" dengan semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkonsepkan Kepolisan Masyarakat.
"Kehadiran elemen-elemen rondaan di Bahagian Operasi Darat JPJKK mencakupi Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan-kawasan kediaman, komersial dan juga perindustrian ternyata telah berjaya meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan diri dan harta benda mereka, termasuklah ketika musim perayaan yang lalu," jelasnya.
“Bagi tempoh Januari hingga April 2023, MPV telah menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan, yang mana sejumlah 76,768 saman telah dikeluarkan. Di samping itu, anggota MPV juga telah menjalankan sebanyak 1,651 tangkapan dengan 770 adalah tangkapan kes jenayah, 777 tangkapan kes narkotik dan 104 bagi lain-lain kes.
"Dalam pada itu, URB turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti ‘Stop and Talk’ serta 'Meet and Greet’ sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat," katanya lagi.
Dalam perhimpunan yang diadakan, Tan Sri Acryl Sani turut berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 37 pegawai polis dan pegawai awam Bukit Aman yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka di jabatan masing-masing. Tidak ketinggalan juga, dua anggota Unit MPV Kontinjen Kelantan atas kejayaan merampas dadah bernilai RM9.5 juta semasa bertugas menjalankan rondaan dan dua anggota Unit MPV Kontinjen Polis Kuala Lumpur yang telah berjaya merampas senjata tiruan sebanyak 25 laras rifle, dua pucuk pistol dan 480 butir peluru plastik bernilai RM318,000.00.
Hadir sama, Pengarah JPJKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Aidi Ismail, barisan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Noorsiah Mohd Saaduddin dan sebahagian warga kerja Bukit Aman.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Aizat Afiq Kamarudin