Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Jabatan Perhutanan Boleh Mohon Senjata Api Kpn

Diterbitkan: 28 May 2015 12.35 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 28 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk memberi pertimbangan kepada Jabatan Perhutanan jika jabatan itu ingin memohon senjata api buat anggotanya bagi tujuan memantau dan mengawal sempadan hutan negara.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/jabatan-perhutanan-boleh-mohon-senjata-api-kpn
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 17:11 MYT


Kuala Lumpur, 28 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk memberi pertimbangan kepada Jabatan Perhutanan jika jabatan itu ingin memohon senjata api buat anggotanya bagi tujuan memantau dan mengawal sempadan hutan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar berkata jabatan itu boleh memohon untuk memperoleh senjata api dalam menjalankan tugasan jika ia mempunyai justifikasi.

"Kalau ia ada justifikasi, maka kita akan meluluskan permohonan jabatan itu," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara Jabatan Siasatan Jenayah di sini, hari ini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang memetik Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Abd Rahman Abd Rahim berhubung penemuan 28 kem haram dan 139 kubur di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.

Abd Rahman berkata jabatan itu perlu diberikan aset dan segala kelengkapan bagi menjaga sempadan hutan negara dan adalah tidak wajar untuk membabitkan renjer hutan dengan kegiatan pemerdagangan manusia kerana kakitangan perhutanan tidak mempunyai kuasa untuk memasuki kawasan itu.

Isnin lepas Khalid mengesahkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, sepanjang 11 kilometer.

Setakat hari ini, empat mayat dikeluarkan dari kawasan itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah perlu helikopter tempur digunakan dalam menjaga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), Khalid berkata PDRM mengalu-alukan jika kerajaan memberi helikopter itu kepada pasukan Esscom.

"Kami mengalu-alukan jika kerajaan memberi helikopter tempur. Saya rasa sesuai untuk pasukan Esscom untuk cepat respon dan mengambil tindakan jika ada ancaman musuh," katanya.

Terdahulu, seramai 210 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Janayah dianugerahkan pingat kedaulatan negara kerana berjuang semasa pencerobohan musuh di Lahad Datu, Sabah dua tahun lepas.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 28 May 2015 12.35 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM