
Artikel
Jabatan Kdnka Mantapkan Usaha Bantu Mangsa Banjir Di Segamat
Seramai 60 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang mempunyai pelbagai kemahiran operasi...
Segamat, 6 Januari 2022 - Seramai 60 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) yang mempunyai pelbagai kemahiran operasi telah digerakkan ke daerah Segamat, Johor setakat ini, menerusi operasi banjir (Op Banjir) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jumlah berkenaan ditambah dengan kekuatan aset yang diturunkan bagi memperkasakan operasi mencari dan menyelamat yang sudah bermula sejak minggu lalu.
Antara aset milik PDRM yang kini telah diaturgerak dalam operasi di Segamat ialah lapan bot PAC, PFB, Decoy OBM dan Rubber Dingdhy and Whally.
Menurut Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Tuan Muhammad Abdul Halim, pasukan Op Banjir dari PDRM dibahagikan kepada beberapa penugasan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Dewan Perdana Pusat Latihan Polis Segamat, rondaan dan tinjauan di kawasan yang terjejas akibat banjir.
"Seramai sembilan pegawai dan 11 anggota dari Batalion 6 PGA dengan dibantu oleh tujuh Botman dan dua mekanik ditugaskan membuat operasi di Jalan Pagoh Tunggal dan Kilang Wah Cens Plastic Industries Sdn. Bhd."
"Manakala seramai dua pegawai dan sembilan anggota Pasukan Polis Marin dari Wilayah 2 Johor pula ditugaskan dekat kawasan Pagoh Tengah, Bukit Kepong dan Lenga," ujar beliau.
Bagi memantapkan lagi operasi tersebut, beliau memaklumkan seramai tiga anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan ditempatkan di Kampung Batu Badak. Manakala bakinya seramai tiga pegawai dan 11 anggota Unit Tindakhas pula ditugaskan menjalankan misi mencari dan menyelamat dekat Kampung Pogoh Tengah.
Tuan Muhammad turut menegaskan bahawa tumpuan PDRM kini adalah untuk memudah cara segala bentuk bantuan yang perlu diberikan untuk menyelamatkan penduduk di dalam daerah tersebut.




















