Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Isu Pembuangan Bayi Penyelesaian Holistik Dari Akar Umbi

Diterbitkan: 10 Jun 2014 9.28 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
YDH CP Mohd Bakri mengharapkan kerjasama media, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta orang ramai dalam membantu memberikan impak yang positif sebagai langkah kerajaan ke atas pengurangan kes-kes je..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/isu-pembuangan-bayi-penyelesaian-holistik-dari-akar-umbi
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 22:53 MYT

Bukit Aman, 9 Februari 2011 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia (PDRM), YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin menjelaskan, pembuangan bayi di negara ini perlu ditangani secara menyeluruh, melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan melalui pendekatan yang lebih efektif dan efisien.

Dalam sidang media yang diadakan di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, beliau merumuskan sebahagian besar wanita atau remaja mengandung luar nikah dan membuang bayi mereka disebabkan faktor takut perbuatan mereka diketahui umum dan tidak mengetahui wujudnya pusat-pusat kaunseling dan jagaan sehingga melahirkan anak tersebut.

Selain itu, faktor yang paling penting, mereka tiada sokongan moral dan tidak diterima oleh masyarakat atas perbuatan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menekankan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu diambil dengan memfokuskan aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak dan menyeluruh.

Menyokong kenyataan beliau, didikan seharusnya bermula dari institusi keluargaan itu sendiri dengan peranan ibu bapa sebagai 'role-model' kepada anak-anak dalam mempertingkatkan interaksi sosial sesama ahli keluarga.

Selain itu, masyarakat juga berperanan mempertingkatkan nilai-nilai murni dan spiritual dalam mengawal batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta membimbing individu yang tersalah langkah daripada terjebak dalam jenayah pembuangan bayi.

Beliau turut menambah, peranan kerajaan juga penting dalam mewujudkan sebarang kekangan aktiviti atau kegiatan yang berpotensi menyumbang ke arah isu penzinaan dalam masyarakat seperti filem-filem pornografi di internet dan sebagainya.

Statistik Pembuangan Bayi di Malaysia dari 2005 hingga Januari 2011

Dalam tempoh 2005 sehingga Januari 2011, seramai 517 bayi dibuang dan dilaporkan kepada pihak polis dan tahun 2008 mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu seramai 102 orang.

Daripada jumlah tersebut, 203 adalah bayi lelaki, 211 adalah bayi perempuan dan bakinya tidak dikenal pasti jantina atas faktor mayat yang sudah reput dan tidak cukup sifat.

Pada Januari 2011, 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan dan ini merupakan sesuatu yang serius serta perlu ditangani bersama oleh semua pihak.

NUR Alert - Pantas kesan kanak - kanak hilang

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh berkenaan pengambil alihan pengoperasian NUR Alert daripada Kementerian Pembangunan Wanita Dan Masyarakat pada 27 Januari lalu yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat dengan pantas berkenaan kanak-kanak hilang yang berumur antara 12 tahun ke bawah yang tidak melibatkan kes tebusan, ugutan dan ancaman bunuh.

Sehubungan itu, YDH CP Mohd Bakri mengharapkan kerjasama media, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta orang ramai dalam membantu memberikan impak yang positif sebagai langkah kerajaan ke atas pengurangan kes-kes jenayah yang melibatkan kanak - kanak di negara ini.

Isu Pembuangan Bayi Penyelesaian Holistik Dari Akar Umbi
YDH CP Datuk Seri Mohd Bakri bermesra bersama wakil-wakil media sebelum Sidang Akhbar

Isu Pembuangan Bayi Penyelesaian Holistik Dari Akar Umbi
Sidang Akhbar di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman

Isu Pembuangan Bayi Penyelesaian Holistik Dari Akar Umbi
YDH Datuk Seri Bakri adalah seorang yang mesra dan disenangi oleh media-media...

Wartawan : Konst Norliza bt Basrah & Konst Irfan bin Bujang
Jurufoto  : Sarjan Zaiddin bin Dahalan & L/kpl Edwind Indo
Penyunting : F29 Siti Fatimah bt Abdul Manan

ArtikelDiterbitkan 10 Jun 2014 9.28 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM