Ipd Kuching Cadang Lancar Kempen Pakai Jaket Keselamatan
Kuching,
24 Jan - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengambil inisiatif
untuk mengurangkan kes kejadian mati lemas di sungai di sini melalui
kempen pemakaian jaket keselamatan.
Ketua
Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad hari ini berkata kempen ini
akan dijalankan melalui kerjasama beberapa agensi lain di Sarawak.
"Tanggungjawab
sebenar (penguatkuasaan undang-undang keselamatan pengangkutan sungai)
adalah di bawah LSS (Lembaga Sungai-Sungai Sarawak). Memandangkan soal
keselamatan adalah juga tanggungjawab polis apatah lagi apabila berlaku
kemalangan, pihak polislah yang akan mengetuai operasi," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata antara aktiviti yang dirancang di bawah kempen berkenaan ialah
mengadakan pertemuan dengan pengusaha pengangkutan sungai bagi
menerangkan kepada mereka tentang kepentingan memakai jaket keselamatan
khususnya kepada penumpang mereka.
"Faktor
keadaan bot atau lebih muatan sebenarnya tidak begitu penting jika
dibandingkan dengan tidak memakai jaket keselamatan. Jika apa-apa yang
berlaku, mangsa tetap akan timbul dan terapung di permukaan air (apabila
memakai jaket keselamatan)," katanya.
Sumber : BERNAMA