Lebih Rm3 Juta Rampasan Kompaun Dikutip Dari Ops Letup Tahu
Kota
Kinabalu, 24 Jan - Lebih RM3.3 juta nilai rampasan dan kompaun berjaya
dicatat daripada operasi bersepadu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, melalui 'Ops Letup 4', tahun
lalu, kata Timbalan Pengarah Kastam Sabah Hamzah Sundang.
Beliau
berkata jumlah itu meningkat sebanyak 17.3 peratus berbanding tahun
2012 iaitu lebih RM2.8 juta dalam usaha kedua-dua agensi berkenaan
bekerjasama membanteras pembakaran mercun dan bunga api tanpa kelulusan
terutamanya pada musim perayaan.
"Daerah
Kota Kinabalu mencatat peningkatan hasil kutipan kompaun tertinggi
iaitu sebanyak 54.45 peratus berikutan operasi bersepadu yang dijalankan
sepanjang tahun lalu.
"(Kita
juga) telah mendakwa 44 kes di bawah Akta Kastam 1967 serta tujuh kes
di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Menurut
Hamzah misi operasi bersepadu berkenaan akan diteruskan tahun ini
melalui Ops Letup 5 yang menyasarkan kawasan Kota Kinabalu, Penampang,
Keningau, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Katanya
Ops Letup 5 akan bermula pada 28 Jan hingga 1 Feb dan pihaknya dan
anggota PDRM akan membuat rondaan bersama di kawasan taman perumahan dan
kawasan perumahan di semua daerah di Sabah.
Hamzah
berkata, JKDM akan mengambil tindakan di bawah Akta Bahan Kakisan,
Letupan dan Senjata Bahaya 1958 terhadap mana-mana pihak mahupun
individu yang didapati bermain bunga api dan mercun tanpa permit.
Menurut Hamzah dalam Ops Letup 4 tahun lalu, pihaknya merekodkan 29 kes di Sabah melibatkan 20 tangkapan.
"Menjadi
satu kesalahan memiliki mercun dan bunga api (tanpa permit) di bawah
Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh
didenda 10 kali ganda nilai terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun
atau kedua-duanya," katanya.
Sumber : BERNAMA