Ipd Gombak Anjur Community Policing Di Bandar Tasik Puteri Rawang
Rawang, 13 Disember 2008 - Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor telah mengadakan "Community Policing" bersama penduduk di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.
Menurut YDH Dato' Jamshah Mustapa, program 'Community Policing' diadakan bersama penduduk di Bandar Tasik Puteri ini, adalah bertujuan untuk memerangi jenayah. Usaha memerangi tidak sahaja dipertanggungjawabkan kepada pihak polis, malahan memerlukan kerjasama yang erat dan persefahaman bersama masyarakat setempat.
"Kerjasama erat Polis dan masyarakat merupakan aspek penting dalam usaha memerangi jenayah. Masyarakat hendaklah bekerjasama dengan polis bagi memastikan tiada kejadian jenayah berlaku di kawasan itu", kata YDH Dato' Jamshah Mustapa, Timbalan Ketua Polis Selangor ketika berucap merasmikan acara itu yang turut dihadiri oleh ACP Abdul Rahim Abdullah, Ketua Polis Daerah Gombak, Selangor.
Terdahulu ketibaan YDH Dato' Jamshah Mustapa disambut oleh ACP Abdul Rahim Abdullah dengan diiringi paluan kompang dan persembahan Seni Silat Gayong.
"Pendekatan yang diambil oleh polis daerah Gombak dengan mengadakan acara sedemikian di Bandar Tasik Puteri Rawang ini, memerlukan kerjasama erat polis dan masyarakat sebagai rakan seperjuangan di dalam tindakan mengenal pasti dan menangani dengan lebih berkesan isu-isu berkaitan jenayah dan gejala sosial daripada berlaku di tempat ini", ujar YDH Dato' Jamshah dengan harapan semua pihak yang tinggal di situ menyemai rasa tanggungjawab bersama-sama memerangi jenayah.
Pada majlis tersebut, hadirin dapat menyaksikan pelbagai acara, umpamanya pameran oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, kaunter semakan saman Trafik, persenjataan dan forensik.
Turut diadakan pertunjukan Seni Silat Polis, pertunjukan anjing pengesan K9 JSJ dan demonstrasi meleraikan perhimpunan haram serta menangkap penjenayah peragut.

Ketibaan YDH Dato' Jamshah Mustapa Timbalan Ketua Polis Selangor diiringi ACP Abdul Rahim Abdullah Ketua Polis Daerah Gombak, Selangor disambut dengan persembahan seni silat.

YDH Dato' Jamshah Mustapa memegang replika bertulis "Community Policing" tanda perasmian di Dewan Lestari Sekolah Menengah Kebangsaan, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Ramai... Penduduk Bandar Tasik Puteri Rawang hadir memeriahkan Pelancaran "Community Policing" anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor.

Penonton dipersembahkan dengan pertunjukkan 'T-Baton' dari Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Demonstrasi .... seekor anjing dari K9 JSJ menangkap seorang penjenayah.

YDH Dato' Jamshah Mustapa dengan dibantu oleh ACP Abdul Rahim Abdullah memakaikan 'vest' "Community Policing" kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Tasik Puteri, Rawang.