Ipd Dungun Buru Pesalah Trafik Di Terminal Bas
Dungun, 24 Mei - Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun giat memburu pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap di terminal bas serta beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata inisiatif yang dilaksanakan itu bagi menjejaki 257 individu yang mempunyai waran tangkap di daerah itu.
Katanya sejak Ops Waran mula dilancarkan, hanya lima pesalah trafik telah melunaskan saman mereka secara sukarela, manakala bakinya masih gagal menjelaskan saman tertunggak.
"Selain melakukan pemeriksaan di terminal bas, kami turut mengadakan sekatan jalan raya bagi mengesan pesalah trafik yang lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Menurutnya menerusi pemeriksaan di terminal bas Kuala Dungun dan Jalan Sura Jetty dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, pihaknya memeriksa 64 individu, termasuk menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai satu waran
tangkap.- BERNAMA