
Inspektor Muaz Bangga Wakili Negara Ke Festival Layang Layang Antarabangsa Di Vietnam
Kuala Lumpur, 7 Jun 2023 - Pegawai Pengangkutan Batalion 2 Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Inspektor Muaz Abdullah Habib melahirkan rasa bangganya kerana diberi peluang untuk mewakili negara ke Hue International Kite Festival 2023 di Bandaraya Hue dekat Vietnam.
Turut mengambil bahagian dalam festival antarabangsa itu ialah Setiausaha Majlis Pelayang Malaysia, Tuan Hj. Ismail Mat Taib dan bekas pegawai kanan polis, pesara ACP Hj. Mohd Fadzil Ali.
Festival layang-layang antarabangsa di Vietnam yang berlangsung dari 3 Jun sehingga 9 Jun depan itu turut disertai seramai 17 pelayang dari 4 buah negara iaitu Singapura, Malaysia Thailand dan Vietnam selaku tuan rumah.
Inspektor Muaz, 36 tahun, yang telah berkhidmat selama 12 tahun dalam Pasukan mula menjinakkan diri menjadi pelayang profesional sejak tahun 2012 dengan meraih pelbagai ilmu daripada pesara ACP Hj. Mohd Fadzil sendiri, selain jaguh pelayang kebangsaan, Dato' Hj. A. Rahim Hj. Nin yang juga Presiden Majlis Pelayang Malaysia.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sunnah dan Pengurusan Maklumat daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga berpengalaman luas dalam sukan terbabit dan pernah menyertai pelbagai festival serta kejohanan di peringkat dunia.
Antaranya, Festival Layang-layang Kebangsaan di Pasir Gudang, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lepas. Beliau turut terpilih mewakili negara dalam sukan itu di Colombo, Sri Lanka pada tahun 2017, di Bali, Indonesia (2018) dan di Gujarat, India pada tahun 2019.
Menerusi festival antarabangsa di Vietnam tahun ini, Inspektor Muaz turut berbangga dapat mempamerkan layang-layang berunsurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain layang-layang moden dan tradisional seperti Wau Bulan, Wau Merak dan Wau Kucing yang nyata menjadi kebanggaan kesenian asli rakyat Malaysia.
Menurut Inspektor Muaz lagi, beliau yang turut membawa nama Pasukan dapat berkongsi kepada dunia bahawa layang-layang yang bercirikan PDRM itu mampu menyampaikan mesej pencegahan jenayah kepada masyarakat selain menjadi wadah mengeratkan hubungan polis dengan orang awam di kawasan-kawasan rekreasi.
Syabas, tahniah dan selamat maju jaya kami ucapkan buat anda, Inspektor Muaz!