Indeks Jenayah Babitkan Pelajar Sekolah Di Pulau Pinang Menu
Bukit Mertajam, 4 Julai - Indeks jenayah terutama berkaitan gengsterisme
di kalangan pelajar sekolah di Pulau Pinang bagi tempoh lima bulan
pertama tahun ini, menurun berbanding tempoh sama, tahun lepas.
Ketua
Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sehingga Mei lepas indeks
jenayah membabitkan pelajar sekolah ialah empat peratus berbanding lima peratus tahun lepas.
"Ia
menurun satu peratus dan ia petanda positif, ini adalah hasil kerjasama
daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa dengan pihak polis. Walaupun
indeks berkenaan menurun, pihak polis akan sentiasa memantau
perkembangan berkenaan," katanya di sini malam ini.
Beliau
ditemui pemberita selepas menghadiri program 'High Profile Policing' di
sini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP
Azman Abd Lah.
Sementara
itu, Abdul Rahim berkata polis sentiasa mengambil beberapa inisiatif
untuk memerangi jenayah dan meningkatkan kesedaran awam dengan
mengadakan siri program bersama masyarakat setempat.
Abdul
Rahim berkata polis percaya program seperti itu dapat membentuk
identiti masyarakat supaya lebih berdisiplin dan menjauhi diri daripada
terlibat secara langsung dalam jenayah.
Dalam
perkembangan lain, Abdul Rahim berkata pihaknya menahan tujuh lelaki
bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang tukang cat maut akibat
ditembak dari jarak dekat ketika minum di sebuah restoran di Taman Seri
Emas, Nibong Tebal, Ahad lepas.
Katanya,
semua mereka yang berusia antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan
beberapa jam selepas kejadian di sekitar Nibong Tebal dan kini direman
selama tujuh hari.
"Kita masih menyiasat motif kejadian itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam
kejadian 30 Jun lepas, mangsa Loh Hooi Tiong, 48, ditembak dari jarak
dekat oleh seorang lelaki ketika sedang minum dan mangsa yang cedera
kemudian dikejarkan ke Hospital Parit Buntar, namun meninggal dunia
ketika dirawat.
Sumber : BERNAMA