Harta Rm1 2 Juta Milik Lelaki Proses Dadah Disita
Ipoh,
20 Nov - Polis Perak mencatatkan penyitaan harta terbesar bernilai
RM1.2 juta apabila menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang terlibat
memproses dan menjual dadah jenis heroin bernilai RM4 juta secara
sendiri sejak 10 bulan lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri ACP Roslan Abdul Wahid berkata
lelaki yang telah berkahwin itu ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta
Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, di rumahnya di
Kampung Rapat di sini pada pukul 2.30 petang, 16 Nov lepas.
"Siasatan
kita mendapati, lelaki itu kerap berpindah dari rumah sewanya untuk
memproses dadah, jika rumah yang disewa itu telah diketahui atau disyaki
oleh orang, dia akan menyewa rumah yang lain. Dia juga kerap menukar
kereta untuk kegiatan menjual dadah, ini modus operandinya," katanya
kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau
berkata selain wang tunai RM190,200, polis dari jabatan itu turut
menyita tujuh buah kenderaan pelbagai jenis seperti Mercedes Benz,
Toyota Caldina dan Honda Odyssey di samping dua buah rumah jenis teres
dan flat.
Maklumat
dan soal siasat juga mendapati suspek mengaku memproses dadah dua kali
sebulan, dengan berat 9.071kg bernilai hampir RM200,000 bagi sekali
proses.
"Lelaki
itu meraih keuntungan bersih sebanyak RM40,000 bagi 18.14kg heroin
apabila dadah itu dijual selain turut terlibat mengedar dadah jenis
syabu yang diperoleh di beberapa kawasan, " kata Roslan.
Katanya
dadah terbabit didapati dijual di luar Perak dalam jumlah besar yang
biasanya mendapat permintaan 'big time drug traffickers' dan bahan yang
digunakan dalam kegiatan haram itu diperoleh dari negara jiran.
Beliau
berkata lelaki itu mengaku bahawa kegiatan memproses dan penjualan
dadah jenis heroin itu dijalankannya secara sendirian tanpa penglibatan
sebarang sindiket atau memperdayakan pihak lain kerana khuatir ditahan
mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Nilaian
harta yang disita itu termasuk wang simpanan berjumlah RM6,606 dalam
sebuah akaun bank yang dibekukan pada 18 Nov serta wang tunai RM140,000
yang dikeluarkan oleh isterinya di Gopeng semalam, katanya.
"Individu
ini tidak menghisap rokok dan mengambil dadah, objektifnya tidak lain
hanya untuk mengaut keuntungan. Dia menyediakan heroin dan dapat menjual
kerana ada permintaan, kita percaya dalam beberapa bulan lelaki ini
mendapat hampir RM1 juta lebih hasil dadah yang diprosesnya," katanya.
Roslan
berkata siasatan mendapati sebahagian kenderaan mewah yang disita
adalah milik dan untuk kegunaan lelaki itu selain ada beberapa kereta
yang belum ditukarkan nama. Siasatan polis setakat ini mendapati
si-isteri tidak terlibat atau mengetahui kegiatan suaminya, katanya.
Polis,
katanya, juga akan menyiasat secara terperinci selepas mempercayai
subjek turut mempunyai harta lain yang bernilai selain terlibat dalam
aktiviti pengubahan wang haram dengan membuka beberapa perniagaan
termasuk perniagaan sukan lasak motocross.
Roslan
berkata penyitaan harta berhubung kes itu adalah yang terbesar daripada
seorang suspek oleh polis narkotik di Perak dalam tempoh dua tahun ini.
"Lelaki
yang tidak mempunyai pekerjaan lain itu akan ditahan selama 60 hari,
sebelum tamat tempoh itu kes akan dirujuk kepada Kementerian Dalam
Negeri untuk dilihat semula dan akan memutuskan sama ada subjek akan
ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun atau dikenakan
sekatan dengan melihat sejauh mana penglibatannya dalam dadah," katanya.
Beliau
berkata penahanan lelaki itu susulan penangkapan seorang lelaki lain
bersama-sama seorang wanita serta penemuan bahan untuk diproses menjadi
dadah heroin di satu unit apartment di Gunung Semanggol, Bagan Serai
pada pertengahan tahun ini.
"Pada
pertengahan tahun ini kita menjumpai bahan untuk diproses tetapi premis
itu tidak dijadikan makmal pemprosesan, dan daripada tangkapan dua
individu itu kemudiannya kita perincikan siasatan untuk mengesan siapa
dalang yang bertanggungjawab memproses dadah berdasarkan maklumat yang
ada," katanya.




Sumber : BERNAMA
Foto : HEA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak