
Artikel
Hari Polis Ke 219 Lencana Di Dada Iman Di Jiwa Teras Pembentukan Jati Diri Warga Pdrm
Kuala Lumpur, 12 Jun 2026 – Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusa...
Kuala Lumpur, 12 Jun 2026 – Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur malam tadi menjadi wadah penting dalam memperkukuh jati diri, integriti serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengangkat tajuk "Lencana di Dada, Iman di Jiwa", forum tersebut menekankan kepentingan pembentukan sahsiah dan keseimbangan antara amanah sebagai anggota pasukan keselamatan dengan tuntutan spiritual dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.
Forum turut diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose, sekali gus menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh nilai integriti dan penghayatan agama dalam kalangan warga PDRM.
Program berkenaan menampilkan penceramah dan pendakwah bebas, Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias serta Timbalan Pengarah (Bahagian Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim sebagai ahli panel. Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Agama Islam Selangor, Ustaz Rizal Ramli bertindak sebagai moderator.
Sepanjang forum berlangsung, para panel berkongsi pandangan berkaitan peranan warga PDRM dalam memelihara amanah, memperkukuh integriti serta meningkatkan ketahanan rohani bagi memastikan kredibiliti pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik dan diyakini masyarakat.
Turut hadir, mantan KPN, Tan Sri Musa Tan Sri Hj. Hassan dan Pengerusi Syarikat PBLT, Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Mazlan Lazim.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Hussein Omar Khan bersama Pengerusi PERKEP JSJN, Datin Liliyana Haryanti Mohd Harunizam, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, Pengarah Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Encik Wan Azhan Wan Hamat, barisan pegawai kanan PDRM serta ahli-ahli PERKEP.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar




