
Article
Hari Polis Ke 215 Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada Tunjang Keselamatan Negara
Kuala Lumpur, 25 Mac 2022 - Warga Sang Saka Biru hari ini menyambut Hari Polis ke-215 dengan mengekalkan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'. Pastinya s...
Kuala Lumpur, 25 Mac 2022 - Warga Sang Saka Biru hari ini menyambut Hari Polis ke-215 dengan mengekalkan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'. Pastinya sambutan kali kedua dalam norma baharu ini tidak sesekali mematahkan semangat warga Pasukan untuk meraikannya dengan penuh semangat dan kesyukuran.
Menyingkap perjalanan 215 tahun usia Pasukan keramat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berdiri megah sebagai agensi penguatkuasa utama negara, dalam menjalankan tanggungjawabnya, sejajar dengan misi untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan profesional kepada masyarakat.
Pastinya, warga PDRM tidak akan sesekali berundur walau selangkah ke belakang, berganjak walau seinci, dalam melindungi rakyat dan mempertahankan bumi tercinta ini daripada ancaman musuh. Mereka akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik demi merealisasikan slogan 'Sedia Berkhidmat' dalam memenuhi harapan dan ekspektasi masyarakat terhadap Pasukan.
Hari ini, Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun 2022 diadakan di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri (MDN), Dato' Seri Hamzah Zainudin dan isteri Datin Seri Norashikin Datuk Abdul Ghani.
Antara yang dipertontonkan dalam sambutan kali ini ialah lintas hormat oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) bersama "detachment" Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang siap siaga diatur gerak ke kawasan operasi misi pengaman dan Polis Bantuan PETRONAS yang pertama kali menyertai secara rasmi sambutan tahun ini.
Antara aset yang terlibat dalam perbarisan pada kali ini pula ialah empat buah "water cannon" dan “command vehicle” milik PSP, 10 buah motosikal Kawasaki KLX 250 dan Z250 milik Unit Rondaan Bermotosikal dan empat buah kenderaan Unit Pemusnah Bom serta Digital Forensik.
Terlibat sama tadi ialah dua buah kenderaan Toyota Hilux untuk kegunaan Unit Anjing Pengesan (K9), dua buah kenderaan berperisai milik 69 Komando dan Unit Tindakhas (UTK), dua buah kenderaan Ford Ranger kegunaan misi pengaman PBB, empat buah kenderaan jenis Toyota Hilux, GS Cargo pelbagai guna, empat buah kenderaan jenis Proton X70 dan Mitsubishi Outlander serta 10 buah motosikal jenis Kawasaki 1400GTR dan Yamaha FJR 1300P kegunaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Juga berlangsung, lintas hormat dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan tiga buah helikopter jenis AS355 Ecureuil dan Agusta Westland AW139 yang membawa bendera Malaysia, Sang Saka Biru serta bendera PGU.
Acara di dataran kawad diakhiri dengan upacara memperbaharui ikrar taat setia oleh seluruh warga Pasukan yang diketuai oleh Komander UTK, SAC Mohamad Suzrin Mohd Rodhi sebelum disusuli dengan acara penyampaian anugerah dan surat penghargaan di Dewan Pengaman PULAPOL.
Seramai enam warga Pasukan telah dipilih pada tahun ini untuk menerima Anugerah Juara Integriti PDRM mengikut kategori masing-masing. Manakala Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, ASP Md Nurazam Md Ghazali bersama empat anggotanya pula menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara (KPN) bersama saguhati kerana menolak rasuah bernilai RM200,000 pada tahun lalu.
Tidak ketinggalan yang diberi penghargaan dalam sambutan kali ini ialah Pegawai Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Inspektor Prabagaren Gunasegaran bersama tiga anggotanya kerana berjaya menyelesaikan tujuh kes rompakan bersenjata api dan pembunuhan seorang anggota polis pada tahun 2017.
Turut diberi penghargaan ialah sembilan pengerusi perumahan PDRM yang telah berjaya mendapat Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM bagi tahun 2021 dan pelancaran PDRM RMPTV oleh Dato' Seri Hamzah.
Sebelum mengakhiri majlis, Dato' Seri Hamzah yang diiringi KPN, IG Tan Sri Acryl Sani Hj. Abdullah Sani dan isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa turut melawat Pusat Austisme PDRM yang terletak di Blok Akademik PULAPOL Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan MDN I, Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Mohamed Said bersama isteri, Datin Sri Hjh. Norazimah Abd Mubin, Timbalan MDN II, Datuk Jonathan Yasin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Hj. Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Hj. Abdul Aziz bersama isteri, Datin Sri Dr. Azlifah Bahari, Timbalan KPN, DIG Dato’ Razarudin Husain bersama isteri merangkap Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Zainah Othman dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Inspektor Afiq Nashriq Mohamed Yusof, Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Muhamad Iqtar Azmi, Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.