Hari Polis Ke 211 Upacara Sembahyang Khas Agama Hindu
Shah Alam, 13 April 2018 - Upacara Sembahyang Khas Agama Hindu bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211 telah diadakan di Kuil Sri Maha Mariamman, Midlands (I-City), dekat sini, sebentar tadi.
Sembahyang khas yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Dato’ Narenasagaran Thangaveloo merangkap Pengerusi Jawatankuasa berkata, program ini diadakan bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM). Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim yang menghadiri majlis makan malam bersempena program tersebut dalam ucapannya menyeru agar program-program sebegini dapat diteruskan kerana ianya adalah signifikan di mana setiap kaum atau etnik mengadakan aktiviti keagamaan masing-masing dengan penglibatan masyarakat sekaligus menyemarakkan lagi semangat ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
“PDRM amat komited terhadap kesejahteraan dan keselamatan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa mahupun latar belakang. “Penglibatan masyarakat terutamanya kaum Hindu di dalam pelbagai program berbentuk ‘community policing’ yang dianjurkan oleh PDRM adalah sentiasa digalakkan demi tanggungjawab kita kepada negara,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, pihak jawatankuasa program turut berbesar hati menyalurkan sumbangan dana kepada tiga buah sekolah rendah tamil serta dua buah pusat kebajikan hasil inisiatif yang diusahakan sendiri oleh para pegawai, anggota serta pegawai awam yang beragama Hindu dari Kontinjen Bukit Aman, Kuala Lumpur dan Selangor.
Majlis turut dihadiri, Ketua Polis Selangor, Datuk Pahlawan Mazlan Mansor, Ketua Penolong Pengarah Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Dato' Manoharan serta para pegawai kanan PDRM.
Sekitar upacara Sembahyang Khas Agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman, Midlands (I-City).
Ketibaan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.
Sekitar Majlis makan malam Sembahyang Khas Agama Hindu di Kuil Sri Maha Mariamman, Midlands (I-City).