
Artikel
Hari Kebangsaan Ke 66 90 Pelajar Tabika Kemas Bukit Aman Semangat Sambut Merdeka
Kesemua pelajar mempamerkan semangat tersebut dengan mengelilingi sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini dengan menggayakan pakaian patriotik sa...
Kuala Lumpur, 25 Ogos 2023 - Seramai 90 pelajar dari Taman Bimbingan Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika Kemas) Bukit Aman mempamerkan semangat patriotik untuk menyambut merdeka bersama 10 warga kerja tabika termasuk guru-guru dan pembantu guru.
Kesemua pelajar mempamerkan semangat tersebut dengan mengelilingi sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini dengan menggayakan pakaian patriotik sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurut Guru Penyelaras, Puan Nurdeana Kamarudin, aktiviti sempena Sambutan Hari Kebangsaan itu bertujuan memupuk rasa sayangkan negara di samping menyemai semangat menghargai nikmat kemerdekaan dan keamanan dalam kalangan para pelajar.
"Selain daripada acara kemuncak ini iaitu berarak mengelilingi Bukit Aman, pihak Tabika juga telah melaksanakan pertandingan pakaian Hari Kebangsaan dan buku skrap di dalam kelas,” ujar beliau.
Tambah beliau, perarakan patriotik tadi turut disertai beberapa ibu bapa pelajar tersebut.
"Saya percaya dengan sokongan dan dokongan daripada para ibu bapa dapat menjadikan pelajar-pelajar ini sebahagian daripada generasi pelapis pemimpin yang sayangkan negara, suatu hari nanti,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, SAC Azhan Abdul Halim.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang