
Timbalan Kpn Imarahkan Majlis Penutup Mthqa Ke 63 Di Wtckl
Kuala Lumpur, 25 Ogos 2023 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay malam tadi mengimarahkan Majlis Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran (MTHQA) ke-63 1445 Hijrah/2023 Masihi anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini.
Majlis penutup yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im Hj. Mokhtar.
Turut berangkat ke majlis tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
MTHQA tahun ini menyaksikan qari dari Malaysia yang juga orang kurang upaya penglihatan, Encik Muhammad Qayyim Nizar Sarimi mencatat sejarah lembaran baharu apabila dinobat menjadi johan. Manakala Puan Sara Belmamoun dari negara Maghribi, dipilih sebagai johan qariah.
Dalam majlis malam tadi, Encik Mohammad Qayyim dan Puan Sara yang masing-masing memperolehi markah 94.96 peratus dan 93.05 peratus, membawa pulang hadiah wang tunai, hadiah iringan serta sijil penghargaan.
Sementara itu, Encik Omar Toure yang mewakili Guinea menjuarai kategori hafazan lelaki dengan pungutan markah 98.63 peratus, manakala Puan Tebani Cheyma Enfal mewakili Algeria pula memenangi kategori hafazan wanita dengan markah 96.32 peratus. Kedua-duanya turut menerima hadiah wang tunai, hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Pada majlis itu, Dato' Sri Ayob Khan bersama kenamaan lain turut diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada johan qari, Encik Mohammad Qayyim.
Turut hadir, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hjh. Hakimah Mohd Yusoff, para perwakilan asing dan rakan media.
Jurugambar: PDRM RMP TV